KEMUNCULAN semula Puan Sri Normala Samsudin di kaca TV menerusi penglibatannya sebagai juri tetap program baharu terbitan Astro dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Ratu Hijabista bakal mengubat rindu para peminatnya selepas lebih 15 tahun berehat dari dunia penyiaran.

Normala, 56, yang ditemui ketika pelancaran program berkenaan di Great Eastern Mall, Jalan Ampang, pada Rabu, berkata, tawaran tersebut diterima selepas mendapat keizinan daripada suaminya, mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Azmi Khalid.

“Saya kembali beraksi atas rasa tanggungjawab untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dalam dunia seni dengan generasi muda hari ini.

“Pada awalnya saya berat untuk menerima tawaran ini, bagaimanapun selepas berbincang dengan suami, dia memberikan saya ‘lampu hijau’.

“Tidak hanya sebagai juri, suami turut melihat saya sebagai seorang ibu yang boleh berkongsi banyak perkara dengan generasi muda hari ini menerusi program sebegini,” katanya.

Berkongsi cabaran sebagai juri program terbabit, bekas pengacara Nona dan pembaca berita TV3 itu, mengakui berdepan kesukaran untuk membuat penyingkiran peserta yang terlibat.

“Saya tidak berdepan masalah ketika memilih peserta, sebaliknya melalui proses yang agak mencabar untuk membuat penyingkiran.

“Peserta yang terlibat kebanyakannya menepati kriteria yang dimahukan dan tidak sukar untuk memilih. Tapi bila perlu menolak, itulah yang sukar apabila saya sebagai juri perlu mencari kekurangan mereka.

“Apa pun dengan pengalaman yang ada, kita cuba membuat yang terbaik dan dalam masa yang berkongsi ilmu dengan mereka semua,” jelasnya.

Program pencarian bakat yang dihoskan oleh Fikry Ibrahim dan Uyaina Arshad itu menampilkan 12 peserta yang bakal merebut gelaran ikon wanita berhijab.

Iklan

Ratu Hijabista akan mula bersiaran di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) pada setiap hari Rabu, jam 9 malam mulai 12 Ogos depan.

Iklan

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)