WALAUPUN tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini, pasti ada masanya yang memerlukan kita keluar dari rumah, bukan?

Ini termasuklah ke pasar raya untuk membeli barangan dapur atau ke klinik sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan.

Sudah tentu pula kenderaan seperti kereta adalah antara kemudahan yang akan digunakan.

Justeru jangan lupa, selain kebersihan diri dan rumah untuk mengelakkan jangkitan Covid-19, penting juga untuk mengekalkan kebersihan kenderaan bagi manfaat diri dan keluarga.

Berikut ialah saranan yang dikongsikan pihak Perusahaan Otomobil Malaysia Sdn Bhd (Proton) mengenai cara-cara untuk menjadikan kenderaan sebagai sebuah ruang yang bersih dan sihat.

Manfaatnya bukan untuk dalam tempoh PKP sahaja, malahan sepanjang masa.

1. Lakukan nyahjangkitan pada permukaan sering disentuh

Pertama, lakukan pembersihan nyahjangkitan secara kerap pada permukaan yang selalu disentuh seperti stereng, tombol gear, pemegang pintu (dalam dan luar), butang mula-berhenti enjin dan kunci kereta.

Terdapat kajian terbaharu mendapati bahawa virus Covid-19 mampu bertahan selama dua ke tiga hari pada plastik dan permukaan keluli tahan karat.

Perkara tersebut jelas menunjukkan bahawa ia boleh berada di mana-mana permukaan kenderaan sekiranya tidak dinyahjangkit selepas disentuh. Oleh itu, penting untuk kita membersihkan atau mengelap semua permukaan secara kerap, terutama selepas membeli barangan keperluan.

Bukan setakat itu, terdapat juga bahagian-bahagian lain pada kenderaan yang perlu dibersihkan dengan teliti.

Kaedahnya, bersihkan permukaan dalam kenderaan dengan penggunaan kain lembut yang telah disembur sedikit bahan semburan antibakteria. Hati-hati agar tidak berlebihan.

Selain itu, bersihkan kerusi kenderaan secara berkala. Sila ambil perhatian bahawa kerusi kulit mungkin tidak sesuai untuk dibersihkan dengan menggunakan cecair nyahkuman.

Bahan kimia yang kasar berisiko merosakkannya. Oleh itu, cari cecair yang sesuai untuk membersihkan kerusi kulit kenderaan dan lap sehingga benar-benar kering bagi mengelakkan kesan bertompok atau merekah.

2. Aktifkan fungsi alat bebas tangan kenderaan

Pada saat-saat seperti ini, semua orang kini sudah terbiasa mengamalkan kebersihan diri. Perkara paling asas iaitu mencuci tangan secara kerap dan meminimumkan sentuhan menggunakan tangan seperti bersalaman dan menyentuh muka yang menjadi kelaziman.

Iklan

Keadaan itu perlu dipraktikkan kerana tangan kita memainkan peranan utama dalam semua aktiviti harian dilakukan, daripada memegang barangan sehinggalah menyentuh sesuatu objek atau manusia.

Salah satu cara untuk meminimumkan sentuhan yang tidak perlu di dalam kenderaan adalah dengan menggunakan fungsi bebas tangan seperti arahan suara yang membantu mengawal pelbagai fungsi.

Manfaatkanlah penggunaan fungsi itu termasuklah untuk membuka radio, penstriman muzik dan menggunakan navigasi.

Kaedah sama juga untuk membuka but belakang dengan menggunakan sensor kaki yang hanya memerlukan anda menggerakkan kaki di bawah bampar belakang. Secara automatik ia akan terbuka dengan menyimpan kunci utama di dalam poket.

3. Bersihkan udara, tenangkan minda

Penggunaan penulen udara mampu menyegarkan udara di dalam kenderaan. Ia berfungsi dengan menapis serta menyingkirkan gas berbahaya, bau busuk dan membunuh bakteria.

Iklan

Sesetengah kenderaan telah dilengkapi dengan sistem tersebut pada alat pendingin hawa.

Selain itu, anda digalakkan untuk membersihkan semua sampah dan habuk di dalam kenderaan dengan menggunakan vakum.

Ini akan membantu menghilangkan kotoran dan sisa makanan yang mungkin akan mengundang kehadiran serangga di dalam kenderaan.

Sepanjang tempoh PKP ini, Proton berharap agar semua pengguna dapat mengamalkan kebersihan yang baik dan yang paling penting adalah duduk di rumah.

Bagaimanapun, sekiranya perlu keluar, amalkan panduan yang dikongsi ini dan pandulah kereta dengan selamat!