Onward pertaruh kisah kekeluargaan

March 7, 2020

KISAH mengenai anak yang kehilangan ibu atau bapa sering menjadi pilihan penerbit dan penulis skrip untuk diterjemahkan di layar perak.

Tema sama juga menjadi pilihan Disney dan Pixar menerusi filem terbaharu mereka, Onward.

Iklan

Filem arahan Dan Scanlon itu menyaksikan penglibatan pelakon popular yang meminjamkan suara mereka untuk watak penting seperti Tom Holland untuk watak Ian Lightfoot, Chris Pratt (Barley Lightfoot), Julia Louis-Dreyfus (Laurel Lightfoot) dan Octavia Spencer (Corey).

Perjalanan filem santai ini mengisahkan adik-beradik bunian, Ian dan Barley Lightfoot yang tinggal bersama ibu mereka di pinggir bandar sebuah dunia fantasi tanpa kewujudan manusia.

Pada hari jadi Ian yang ke-16, dia menerima hadiah istimewa peninggalan bapa mereka yang meninggal dunia ketika masih kecil.

Iklan

Hadiah tongkat sakti itu dipercayai boleh menjelmakan semula bapa mereka, namun ketika Ian mencuba hanya bahagian bawah badan bapa mereka yang muncul.

Memandangkan sihir itu hanya bertahan selama 24 jam, mereka perlu mencari jalan untuk mengembalikan bahagian atas badan bapa mereka sebelum terlambat.

Pengembaraan dua beradik itulah yang menjadi inti pati penting kepada perjalanan filem ini iaitu mereka harus membina kepercayaan dan bekerjasama untuk mencari elemen penting bagi melengkapkan jampi tersebut.

Perjalanan filem ini tidak sukar difahami kerana penonton akan dihidangkan dengan elemen kasih sayang dan kekeluargaan yang akan melatari hampir keseluruhan filem.

Bahkan perasaan penonton pasti akan tersentuh dengan kisah Ian yang begitu berharap bapa masih hidup dan berpeluang melakukan aktiviti bersama.

Jampi yang disebut Ian berjaya menjelmakan separuh bahagian bapanya yang sudah mati.

Malah keretakan hubungan Ian dan Barley ketika menghampiri penghujung cerita juga akan mengingatkan penonton kepada hubungan antara adik-beradik masing-masing.

Banyak lagi konflik yang berlaku di antara mereka akan memberi kesan kepada penonton terutama bagi mereka yang mungkin melalui perkara sama.

Antara lain yang penulis puji adalah keserasian Tom Holland dan Chris Pratt yang menyumbang suara serta emosi yang cukup baik kepada watak utama adik beradik iaitu Ian dan Barley dalam Onward ini.

Dari sudut animasinya pula, Disney dan Pixar tidak pernah gagal untuk tampil dengan sebuah hasil yang cukup mengagumkan.

Ian dan Barley meminta bantuan Corey, bekas pahlawan yang juga makhluk mitos terdiri daripada gabungan separuh singa, separuh kelawar dan separuh kala jengking.

Bukan sahaja akan menarik perhatian kanak-kanak, tetapi golongan dewasa juga akan berasa kagum dengan hasil kerja filem ini.

Secara keseluruhannya, Onward sangat sesuai ditonton bersama keluarga dan jangan lupa untuk bawa tisu bersama.

About Wawann Mohd

Biodata Penulis