SETELAH 12 tahun tidak mengeluarkan lagu baru, Datuk Aznil Nawawi atau mesra disapa Pak Nil bakal melancarkan single berjudul Apo pada 17 Julai depan.

Single yang berkisarkan buli siber itu ciptaan Archie Nasution dan Reza Ramsay. Manakala liriknya pula cetusan idea Pak Nil sendiri.

Ia diterbitkan atas inisiatif Pak Nil sendiri menerusi paksi tanggungjawab sosial Yayasan Pesona (milik Pak Nil) bersama Scifi Record dan Sony Music.

Istimewanya lagu yang sepatutnya dilancarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan itu turut memuatkan lirik nama akaun Twitter Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu Che Minah Sayang yang pernah digunakan Baginda sebelum ini.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan lagu tersebut, Pak Nil berkata, dia sendiri meminta keizinan Raja Permaisuri Agong pada 4 Jun lalu.

“Saya ada bermesej dengan Raja Permaisuri Agong di Instagram dan maklumkan hal meletakkan nama akaun Twitter Baginda dulu dalam lirik lagu ini. Saya mahu minta perkenan Raja Permaisuri Agong.

“Selepas mendapat balasan nombor untuk dihubungi, saya menelefon Raja Permaisuri Agong.

“Saya juga turut melakukan dengan cara protokol menulis surat dan memohon perkenan dalam Istana Negara. Alhamdulillah Raja Permaisuri Agong sendiri secara peribadi mengizinkannya.

“Saya sendiri punyalah gementar sampai menggigil-gigil sebab nak bercakap dengan Baginda dalam telefon. Bayangkan boleh kejap tersasul bahasakan diri sebagai patik, kejap saya,” katanya dalam sesi pradengar santai lagi Apo baru baru ini.

Iklan

Tambah pemenang 10 kali trofi kategori Pengacara TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular itu, dia juga bercita cita mahu mendapatkan rakaman suara Baginda di dalam lagu berkenaan

“Kalau dapat perkenan guna rakaman suara Raja Permaisuri Agong untuk diselit dalam lagu ini, lagilah saya akan rasa beruntung. Namun saya tahu hal seperti ini bukan mudah kerana membabitkan banyak protokol.

“Malah andai dapat Raja Permaisuri Agong mencemar duli hadir melancarkan lagu ini pada bulan depan bertambah istimewalah jadinya,” ujarnya.

Iklan

Sepanjang lebih 32 tahun berkongsi bakat, Pak Nil pernah muncul dengan dua album bersama Pony Canyon dan KRU Music.

Beliau juga pernah menulis lirik untuk penyanyi seperti A to Z, Amy Mastura, Min Malik dan Kool.