PENGACARA terkenal Datuk Aznil Hj Nawawi menarik perhatian ramai apabila tampil mengenakan set pelindung diri dan pelindung muka ketika menjayakan persembahan dalam program Muzik-Muzik, pada Isnin malam.

Menurut Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil, pada awalnya dia merancang untuk mengenakan pakaian daripada jenama Emporio Armani, namun berubah fikiran selepas terkesan dengan  teguran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pamatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang ramai.

“Mulanya Pak Nil ada perancangan untuk pakai baju Emporio Armani untuk program Muzik-Muzik malam ni.

“Tapi selepas pengumuman Perdana Menteri pasal kelonggaran kita menjaga SOP sebab kita masih dalam PKPP, Pak Nil tukar plan dan pakai set pelindungan diri (PPE) ke set dan buat persembahan,” jelasnya yang tampil menyampaikan lagu Apo.

Aznil turut mengucapkan terima kasih kepada penerbit program tersebut kerana mengizinkannya berbuat demikian.

“Terima kasih penerbit yang izinkan Paknil buat demikian,” ujarnya.

Iklan

Berkongsi keprihatinannya, Aznil yang kini sibuk mempromosikan single terbaharunya itu, turut mengedarkan pelitup muka dan pelindung muka kepada kru produksi yang bertugas.

Iklan

 

(FOTO: Instagram Aznil Hj Nawawi)