KELANTAN sememangnya antara lubuk syurga makanan di negara ini.

Harga makanan yang agak murah dengan kelazatan yang sukar digambarkan dengan kata-kata juga antara tarikan mengapa negeri itu tidak putus-putus dikunjungi ramai orang.

Sejak kebelakangan ini, banyak hidangan viral dari negeri Cik Siti Wan Kembang dikongsi menerusi media sosial. Pendek kata, jika pembaca SinarPlus menjejakkan kaki ke sana, tidak akan lapar dan menyesal.

Salah satu lokasi yang kami syorkan anda lawati adalah di satu perkampungan nelayan di Pulau Suri, Tumpat.

pasar terapung

Ramai yang menyebut, lokasi itu persis pasar terapung yang terkenal di Hatyai, Thailand. Ia bukanlah satu berita baharu, tetapi masih belum mendapat liputan meluas melalui dada-dada akhbar lagi.

Pasar Terapung Pulau Suri yang dibuka sejak tahun 2016 itu sebenarnya merupakan cetusan idea Saifuddin Ibrahim dan rakan-rakan yang bercita-cita tinggi mahu membantu meningkatkan pendapatan lebih kurang 70 keluarga yang menetap di situ.

pasar terapung

“Selepas banjir besar tahun 2014, kehidupan penduduk tidak seperti dulu. Dari situlah tercetusnya idea untuk mewujudkan pasar terapung setiap Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 3 petang. Daripada hanya lapan orang kini sudah ada 30 peniaga,“ kata anak Kelantan itu.

Bercerita lanjut, Saifuddin berkata, untuk ke Pasar Terapung Pulau Suri, pengunjung perlu menaiki bot yang disediakan di Jeti Bot Kelantan Floating Market Masseroja Village.

“Pembelian tiket yang disertakan sekali insurans sebagai jaminan keselamatan Selain disambut pintu gerbang yang menjadi port bergambar, kehadiran mereka akan disambut dengan paluan gong dan iringan dikir barat.

pasar terapung

“Jika bernasib baik, pengunjung cilik akan dihiburkan dengan maskot watak filem animasi. Tidak kurang juga ada ‘Abang Dinosur‘ menanti mereka, memang riuh-rendah dibuatnya,“ katanya teruja.

Apakah jenis hidangan yang dijual? Ujar Saifudin, selain sajian yang viral seperti lokan masak keju dan kerabu nipah, terdapat juga pelbagai jenis masakan Kelantan boleh dibeli.

“Semua hidangan dijual pada harga bermula RM5 hingga ke RM10 bergantung kepada saiz. Lokasi istirehat yang selesa dan teduh diiringi angin sepoi-sepoi membuatkan mereka yang berkunjung pasti ingin kembali ke sini.

“Pun begitu, disebabkan musim tengkujuh kini, pasar terapung ini ditutup buat sementara waktu. Mungkin dibuka pada Februari ini,“ ujarnya.

pasar terapung

Iklan

Pasar Terapung Pulau Suri

  • Alamat: Pulau Suri, Tumpat, Kelantan
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 3 petang (Setiap Sabtu)
  • Facebook: Kelantan Floating Market
  • Foto KELANTAN FLOATING MARKET

Kemeriahan pasar terapung yang terletak di Pulau Suri, Tumpat, Kelantan barangkali boleh menggembirakan mereka yang rindukan suasana jualan di Pasar Terapung Khlong Hae di Hatyai, Thailand.

Di negeri Perlis juga mempunyai keunikan tersendiri apabila memiliki dua pasar terapung. Selain jualan aneka makanan tradisi, kraftangan dan buah-buahan, kebanyakan pasar jenis itu menjadi daya tarikan pelancongan.

Berikut SinarPlus kongsikan tiga lokasi pasar terapung sempena Rekreasi Pilihan minggu ini.

pasar terapung

Iklan

Pasar Tani Terapung Pengkalan Datu

  • Alamat: Pengkalan Datu, Sering, Pengkalan Chepa
  • Waktu operasi:
  • 8 pagi hingga 1 petang (Sabtu)
  • Laman web: pasartani.fama.gov.my

pasar terapung

Pasar Terapung JPS Perlis

  • Alamat: Kompleks JPS Perlis
  • Waktu operasi: 7 pagi hingga 7 petang (Setiap Sabtu dan Ahad)
  • Facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis

pasar terapung

Pasar Terapung Pangkalan Tok Kuning

  • Alamat: Kuala Perlis, Kangar
  • Waktu operasi: 5 petang hingga 10 malam (Ahad)
  • Laman web: perlis.gov.my