SELAIN lokasi hipster dan ‘lejen’nya, Ipoh, Perak memang banyak lokasi menarik untuk dikunjungi mengikut minat dan peringkat usia.

Terbaharu, terletak bersebelahan dengan Jalan Jelapang-Chemor, dekat sini, Pavilion Petting Zoo harus dijadikan tempat persinggahan baharu buat pencinta haiwan khususnya hujung minggu.

Beroperasi di atas tanah berkeluasan 6.7 ekar, para pengunjung terutamanya kanak-kanak pastinya teruja apabila berpeluang untuk melihat dan bermesra dengan lebih 40 jenis haiwan jinak yang ada di situ.

Antaranya adalah ayam pelbagai spesies seperti ayam sutera, ayam brahma yang berbulu di kaki, ayam selasih putih, ayam belanda, kambing, pelbagai spesis burung, musang pandan, iguana hijau, ular sawa, arnab, kuda dan sebagainya.

Menurut Pengusahanya, Mohd Syariff Yahaya, Pavilion Petting Zoo telah dibuka pada 22 Februari lalu namun hanya dapat beroperasi sekitar tiga minggu sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

Namun katanya ketika itu petting zoo atau zoo haiwan jinak itu telah menerima jumlah kehadiran 4,000 pengunjung yang terdiri daripada penduduk sekitar dan beberapa daerah lain di Perak seperti dari Gerik dan Manjung.

Katanya lagi, apabila zoo dibenarkan beroperasi semula 10 Jun lalu, Pavilion Petting Zoo terus menerima sambutan yang menggalakkan.

“Kami menerima sekitar 2,000 pengunjung dan sambutan sangat baik apabila tiba hujung minggu. Kami juga tidak menyangka menerima kunjungan dari luar Perak seperti dari Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

Amal SOP

Bagaimanapun kata Mohd Syariff, Pavilion Petting Zoo tetap mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP antaranya mewajibkan pengambilan suhu badan, penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka terhadap pengunjung dan kakitangan.

Menurut bapa kepada enam orang anak itu, dia mengusahakan zoo haiwan jinak itu bersama-sama isterinya selain dibantu tenaga kerja yang terdiri daripada kalangan warga tempatan.

“Pada asalnya, zoo ini kami usahakan untuk persendirian sahaja kerana anak-anak kami sukakan haiwan. Ia bermula dengan seekor kuda dan sembilan kambing sahaja.

Iklan

“Namun selepas setahun, saya dan isteri berbincang untuk membukanya kepada orang ramai dengan niat untuk turut menggembirakan anak-anak keluarga lain dengan merasai pengamalan di sini,” katanya.

Tambahnya lagi, dia sedang dalam perancangan untuk membangunkan lagi zoo haiwan jinak itu dengan melibatkan pertambahan 3 ekar tanah lagi secara berfasa.

Selain itu Mohd Syariff berkata turut merancang untuk mengadakan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya dapat membawa zoo haiwan jinak ke Taman Rekreasi Gunung Lang.

Iklan

Pavilion Petting Zoo dibuka setiap hari, kecuali Jumaat, dan beroperasi pada jam 10 pagi sehingga 6 petang.

Tiket masuk dikenakan pada harga RM5 dan percuma kepada golongan kanak-kanak berusia bawah 2 tahun.

Informasi Tambahan:
Alamat: 27783 Jalan Jelapang-Chemor Chemor, 31200 Ipoh, Perak
Nombor Telefon: 019-900 9079 (Mohd Syariff)

Kredit: https://peraktoday.com.my/