BUAT orang di Perak, jangan tak tahu ya komer… Perak dah cipta sejarah dengan menawarkan pengalaman baharu kepada pencinta filem yang nak menonton wayang secara pandu masuk pertama Malaysia.

Terletak di Downtown Meru Raya, Ipoh ia dah pun dibuka kepada orang ramai bermula kelmarin (18 Julai 2020).

Bagi yang tertanya-tanya macam mana ‘rupa’ wayang pandu masuk ni, untuk pengetahuan ia ala zaman kanak-kanak dulu yang pernah membesar dengan wayang- wayang pacak oleh jabatan penerangan ya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ilham mewujudkan kemudahan itu datang daripada pengalaman waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlu menjaga jarak sosial.

“Saya fikir jangan biar Covid-19 mengawal kita, tetapi kita yang harus mengawal Covid-19, jadi datang la idea untuk berhibur dengan menonton filem melalui wayang pandu masuk ini.

“Saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana pihak Perak Corp Berhad (PCB) telah pun menunaikan janji mereka kepada saya untuk terlibat sama dalam usaha untuk memajukan industri pelancongan di negeri Perak dengan mengadakan fasiliti drive cinema ataupun panggung lalu pandu masuk.

“Kalau dulu saya menonton filem Grease dan di situ saya melihat bagaimana orang di Amerika menonton wayang dalam kereta dan waktu kita kanak-kanak dulu saya biasa membesar dengan wayang- wayang pacak oleh jabatan penerangan suasana sebegitu dapat dikembalikan dengan usaha ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Casuarina Sini-Drive di Ipoh.

Bagaimanapun kata Ahmad Faizal, beliau berpandangan bahawa pihak penganjur perlu menjaga tatasusila pengunjung supaya tidak berlaku sebarang perkara tak baik di kawasan berkenaan, lapor  Perak Today.

Bersama keluarga

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif PCB, Zainal Iskandar Ismail, kelainan Casuarina Sini-Drive adalah penonton boleh membuat tempahan secara atas talian.

“Kita tawarkan makanan secara atas talian, penonton boleh membeli tiket dan kupon secara atas talian, malahan makanan juga akan dihantar ke kereta.

“Penonton juga boleh merasai pengalaman mendengar semua sistem audio dan suara di dalam kereta masing-masing,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Zainal Iskandar berkata, orang ramai boleh membuat tempahan tiket tayangan filem yang dikenakan bayaran antara RM36 hingga RM42 bagi setiap kenderaan dengan set snek serta minuman secara dalam talian di laman web www.sini-drive.com.my.

Menurutnya, orang ramai boleh menikmati tayangan filem pelbagai genre termasuk filem aksi dan Bollywood bermula pukul 8 malam hingga 11 malam pada skrin berkeluasan 6×18 meter itu setiap hari kecuali Isnin bermula esok (18 Julai).

“Satu frekuensi khas akan diberi kepada penonton yang audio tayangan filem berkenaan dapat didengar terus dari radio kenderaan masing-masing.

“Kami bercadang untuk membuka panggung wayang pandu masuk ini di tempat lain seperti Kuala Kangsar dan Kampar sekiranya ia mendapat sambutan,” katanya.

Iklan

Sementara itu tambah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, beliau berpendapat bahawa pawagam pandu lalu merupakan satu idea yang sangat baik demi memberi peluang kepada rakyat untuk keluar meluangkan masa bersama sama dengan keluarga.

“Saya yakin bahawa terdapat ramai orang yang tidak mahu mengambil risiko terjangkit dengan wabak yang merbahaya ini. Mungkin ada juga yang merasakan SOP yang telah ditetapkan itu agak renyah untuk dipatuhi, maka di sini lah usaha dan initiatif seperti Sini-Drive ini dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.

“Selain itu, Sini-Drive ini juga berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke negeri Perak khususnya ke Bandar Meru Raya. Perkara ini dapat menjana dan merancakkan ekonomi setempat sejajar dengan seruan kerajaan negeri dalam kempen #TravelPerakLah yang telah dilancarkan baru baru ini,” katanya.

Kredit: Perak Today & Bernama