JIKA anda pengikut setia Instagram selebriti dan usahawan Hanis Zalikha Zainal Rashid saban hari ada sahaja perkongsian masakan, keibubapaan dan stail hijab menerusi laman sosial tersebut.

Hanis Zalikha berusia 30 tahun antara selebriti yang tidak lokek berkongsi ilmu dan tip bersama para pengikutnya berdasarkan pengalaman peribadi.

Bukan itu sahaja, beliau yang kini aktif mengusahakan koleksi hijab Cakenis bersama suami, Hairul Azreen juga gemar berinteraksi dengan pengikut setia menerusi medium soal dan jawab di dalam Instagram Story.

Terbaharu ibu kepada dua cahaya, Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah itu mengajak peminat setia bercerita kisah mengenai, ‘Bagaimana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) telah menyelamatkan saya’.

hanis zalikha
HANIS ZALIKHA antara selebriti yang sentiasa berkongsi tip bersama pengikut setia Instagramnya. Foto: Ihsan Instagram @haniszalikha.

Berikutan itu, bermacam-macam ceritera ringkas diluahkan oleh para pengikut setia Instagram @haniszalikha.

Majoriti menzahirkan bahawa PKP menyuntik hikmah manis dan positif baik untuk diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat.

Antara kisah menangkap perhatian Sinar Plus mengenai individu yang sebelum ini menganggur selama setahun tiga bulan. Namun begitu, disebabkan pandemik Covid-19, akhirnya beliau ditawarkan bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bukan itu sahaja, ada juga isteri yang meluahkan bahawa sebelum ini rumah tangga bagaikan di hujung tanduk. Bagaimanapun, disebabkan PKP telah membuka peluang beliau dan suami menunaikan solat berjemaah.

“Perkahwinan kami hampir musnah. Namun, kini kami dapat solat lima waktu secara berjemaah dan dia (suami) berubah 360 darjah,” luah pengikut terbabit yang disusuli emoji bersyukur daripada Hanis Zalikha.

Selain itu, Haniz Zalikha juga menerima perkongsian yang mana PKP memasuki fasa ketiga tersebut turut merapatkan kasih sayang antara anak dan ibu serta menantu dan mentua.

Iklan
hanis zalikha
ANTARA luahan peminat Hanis Zalikha menerusi Instagram Story yang mendapat banyak hikmah disebalik PKP.

“Stuck rumah mentua dah sebulan. Baru tahu sebenarnya kasih sayang mereka 100 peratus.”

“Ibu baru lepas operate kanser paru-paru. Jadi tak perlu mohon cuti panjang kerana kini berpeluang jaga beliau di rumah.”

Dalam pada itu, susulan pelaksanaan PKP sehingga 28 April depan turut memberi kegembiraan kepada pasangan suami isteri yang sedang membina kehidupan khususnya melibatkan pengurusan kewangan.

Iklan

Ia susulan inisiatif kerajaan bersetuju memberi moratorium secara automatik bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Sebelum PKP kami (suami isteri) seperti tidak menemui jalan penyelesaian untuk melunaskan komitmen bulanan. Tiba-tiba berita baik ada moratorium,” jelas salah seorang peminat yang turut mendapat respon daripada Hanis Zalikha.

Tutur beliau, kini tiba masanya susun dan jadualkan semula kewangan yang utama.