PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 ternyata memberi kesan yang begitu besar kepada penggiat seni tanah air apabila banyak kegiatan industri tidak dapat dijalankan.

Di saat rakan dalam industri mengeluh kehilangan punca pendapatan disebabkan krisis tersebut, pelakon Amerul Affendi mengakui bernasib baik apabila dapat bergantung harap kepada perniagaan ikan patin sangkar yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

Menurut Amerul atau Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 34, seawal melibatkan diri dalam bidang seni dia menyedari pendapatan yang diperoleh tidak menentu.

“Melihat kepada perkembangan industri yang tidak banyak menunjukkan perubahan dari segi bayaran dan kebajikan kepada penggiat seni, saya cuba buat persediaan untuk masa depan sendiri.

“Selain bidang seni, saya memang minat dengan pertanian dan penternakan. Jadi saya gunakan minat tersebut untuk menghasilkan pendapatan menerusi perniagaan ikan patin sangkar atau Patin Peng yang saya usahakan di Temerloh, Pahang.

“Alhamdulillah perniagaan tersebut banyak membantu kelangsungan hidup saya dan keluarga terutamanya pada saat sukar yang dialami seperti sekarang,” katanya.

Apa yang lebih membanggakan, perniagaan yang diusahakan oleh pelakon yang cukup diingati menerusi watak Mak Yam dalam filem Polis Evo itu, perniagaan tersebut kini semakin berkembang dan mendapat sambutan ramai.

“Sebelum ini saya hanya memasarkan hasil ternakan di sangkar dan sekitar kawasan sekitar Temerloh sahaja, cuma pada tahun ini mula meluaskan pasaran ke Selangor dan Kuala Lumpur apabila mendapat permintaan tinggi di sini.

“Saya tak nafikan, mungkin pengaruh saya sebagai orang yang dikenali turut membantu dari segi pemasaran, tetapi usaha yang diletakkan tidak hanya pada nama.

“Kalau tidak terlibat dengan kegiatan seni, saya akan berada di Temerloh untuk projek ini. Tak susah saya nak bahagikan masa kerana tawaran berlakon yang bagus pun bukan selalu ada,” akuinya.

Berkongsi tentang perancangan kerjaya seninya selepas PKP, Amerul berkata, dia menyerahkan segalanya kepada rezeki.

Iklan

Meskipun aktiviti penggambaran drama dan filem kini dibenarkan, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem ke-17 itu menyifatkan industri akan mengambil sedikit masa untuk kembali pulih.

“Penggambaran dibenarkan dengan syarat pematuhan SOP yang agak ketat terutamanya berkaitan jumlah kru yang ditetapkan.

“Bagi penggambaran drama atau telefilem, mungkin tidak menjadi masalah, tetapi untuk filem mungkin agak sukar bekerja dalam jumlah yang disyaratkan kerana filem memerlukan penglibatan banyak pihak.

Iklan

“Saya percaya buat masa ini, ramai yang belum yakin untuk jalankan penggambaran filem. Jadi mungkin tahun depan barulah penggambaran kembali rancak, itu pun jika krisis Covid-19 benar-benar pulih,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbaharunya, Mencari Rahmat tidak lama lagi.

 

(FOTO: Instagram Amerul Affendi)