SELEPAS berjaya dengan lagu Pematah Hati dan Vroom Vroom, penyanyi Nabila Razali muncul dengan single kelimanya berjudul Peluang Kedua.

Lagu ciptaan sepenuhnya Hael Husaini itu memberi kelainan apabila menyerlahkan sisi lain Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali menerusi lagu bergenre balada.

Menariknya dalam masa seminggu, lagu tersebut sudah berjaya meraih 3 juta tontonan di saluran YouTube Nabila Razali Entertainment.

“Alhamdulillah, walaupun banyak dugaan kami berjaya melalui proses pembikinan lagu ini dengan baik.

“Sebenarnya setahun saya mencari lagu dan ada beberapa lagu yang saya dapat sedap di telinga tetapi tidak sesuai dengan saya.

“Bagi saya lirik lagu ini sangat mendalam sehingga saya sendiri menangis ketika pertama kali mendengar demo daripada Hael.

“Liriknya juga lebih dekat dengan hati masyarakat terutama yang sedang bercinta mahupun putus cinta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nabila berkata, dia berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses pembikinan lagu berkenaan termasuk penggambaran yang terpaksa ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Iklan

“Banyak cabarannya dan saya pasti semuanya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Selain masalah masa dan kesihatan yang tidak cukup rehat, penggambaran muzik video juga ditangguhkan kerana PKP.

“Sepatutnya penggambaran muzik video berlangsung pada 20 Mac lalu tapi arahan kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac membuatkan muzik video itu tertangguh,” ujarnya.

Lagu Peluang Kedua mengisahkan tentang seseorang yang ingin membetulkan kesilapan dalam hubungan dan meminta untuk diberikan peluang kedua.

Peluang Kedua tersedia di semua pelantar muzik digital dan boleh distrim di Spotify, Joox, KKBOX, YouTube dan Apple Music sejak 24 April lepas.

Iklan

Sempurnakan Ramadan

Berkongsi mengenai persediaan menyambut Ramadan, Nabila berkata, dia menganggap tempoh berpuasa dalam fasa PKP sebagai masa terbaik untuk menyempurnakan ibadah.

Katanya, jika sebelum ini dia terikat memenuhi jemputan berbuka puasa, namun kali ini pastinya berbeza.

“Tidak ada persiapan berlebihan. Cuma saya lihat selain beribadah, saya mahu mempertingkat dan sempurnakan lagi ibadah saya.

“Kalau tahun-tahun sebelum ini saya terikat dengan jemputan berbuka puasa, tapi kali ini saya dapat luangkan masa dengan keluarga.

“Apa yang tak sempat dilengkapkan, saya akan cuba untuk perbaiki pada tahun ini,” ujarnya.