PENGACARA, pelakon dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor mengakui Perlaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu mengajarnya menjadi insan lebih berdisiplin.

Menurut Neelofa, 31, dia mengikuti saranan kerajaan untuk bekerja daripada rumah, di samping meneruskan rutin harian seperti biasa.

"Sepanjang PKP, saya masih bekerja seperti biasa. Cuma saya tidak terlalu banyak bergerak keluar. Saya habiskan masa di rumah untuk selesaikan kerja yang pending.

"Selain itu, saya cuba habiskan masa dengan melakukan rutin berfaedah seperti membaca dan merancang hal-hal berkaitan Naelofar untuk masa akan datang.

"Saya juga manfaatkan waktu PKP untuk bersama keluarga kerana sebelum ini, saya kerap tiada di rumah bagi melunaskan tuntutan kerja. Rutin-runtin lain masih sama.

"PKP ini juga mengajar saya untuk menjadi lebih berdisiplin. Maklumlah, kerja di rumah, jadi kita tidak mahu terus terganggu dan dalam masa cuba untuk menghabiskan kerja dalam waktu yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Plus.

Selain sibuk dengan kerja dan rutin, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu tidak lupa mendekati peminat setianya menerusi medium Instagram.

Malah Neelofa juga turut mengendalikan program santai kelolaannya #BerseoranganBersama menerusi Insta Story dan  turut menampilkan selebriti gred A dalam dan luar negara seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Rossa, Nora Danish dan terbaharu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Iklan

Jelasnya, idea penghasilan program bual bicara mini itu adalah salah satu inisiatif membantu Malaysia dalam memerangi Covid-19.

"Selain bantuan kewangan, saya rasa kita juga perlukan suara yang sentiasa mengingatkan dan memberi info berguna kepada rakyat Malaysia, mengenai apa yang boleh kita lakukan secara bersama, dalam memastikan kita mampu mengatasi masalah ini secara total.

“Insya-ALLAH jika berpeluang, saya akan perbanyakkan lagi sesi sebegini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Simpati nasib stokis, agen

Iklan

Dalam pada itu, Neelofa mengakui perniagaan tudung, Naelofar, yang dikenalikannya agak terjejas dari segi produksi pengeluaran, tetapi dia lebih bersimpati dengan nasib stokis dan agen.

"Perniagaan sedikit terjejas, terutama dalam production. Namun, dari segi jualan, tidak banyak beza sebab Naelofar memang agak kuat penjualan secara atas talian, alhamdulillah.

"Cuma saya kasihan dengan stokis dan agen yang seratus peratus bergantung pada penjualan fizikal. Mungkin penjualan mereka agak terkesan. Justeru, saya berharap agar segalanya kembali pulih seperti biasa," jelasnya.

NEELOFA
Neelofa berharap wabak pandemik Covid-19 akan segera hilang dari Malaysia dan semua dapat menikmati kehidupan seperti biasa.

Tambahnya, dia juga berharap masalah wabak Covid-19 dapat berakhir secepat yang mungkin.

"Saya berharap agar rakyat Malaysia dapat duduk di rumah dan bantu memerangi penularan wabak Covid-19 ini.

"Semoga kita bersabar menempuh dugaan ini kerana saya yakin, Insya-ALLAH ada hikmah di sebalik segalanya.

"Saya doakan agar urusan kita semua dipermudahkan, rezeki kita dilipat-gandakan dan semua orang dapat kembali bersemangat menjalani kehidupan seharian," katanya.