Ewayang.Com, platform wayang dalam talian pertama di Malaysia yang dibangunkan semasa pandemik Covid-19, mendapat sambutan baik daripada penerbit-penerbit filem tempatan.

Pengurus Projek ewayang.com, Djpool Soul Masters berkata, platform itu dibangunkan dengan matlamat untuk membantu semua karyawan melangkah lebih jauh dalam memartabatkan perfileman Malaysia.

Platform itu juga menyahut seruan kerajaan agar rakyat menjalani kehidupan normal baharu akibat Covid-19.

“Ewayang.com membawakan pawagam terus mendekati penonton dan sedikit sebanyak dapat membantu kita daripada  terdedah terlalu lama kepada jangkitan Covid-19,” katanya.

Tambah Djpool, pihaknya juga berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dapat menyokong ewayang.com.

“Sedikit sebanyak ewayang.com dapat membantu merealisasikan harapan Finas untuk melihat filem tempatan bertanding di Oscar kerana menerusi ewayang.com, filem tempatan boleh ditonton di seluruh dunia,” ujarnya.

Iklan

Terbaharu, selepas tayangan filem Tyickoouns, kini filem Wangi dan Geran bakal menyusul di platform tersebut.

Wangi terbitan Resilience Studio Sdn Bhd merupakan sebuah naskhah psiko thriller yang dibintangi Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda dan Syazwan Zulkifli.

Iklan

Selepas tayangan filem Wangi bermula 26 Jun lalu, Geran yang mengangkat seni silat Melayu terbitan layar Picture Sdn Bhd akan dipertonton.

Bukan itu sahaja, ewayang.com turut membuka peluang kepada penerbit dan pengarah filem serta drama untuk menyiarkan karya-karya mereka di platform ewayang.com.