KEKANGAN bekerja dalam tempoh kawalan pergerakan tidak menghalang Astro untuk menampilkan sebuah program baharu berjudul Suara Viral.

Bakal bersiaran setiap hari Rabu bermula 17 Jun ini, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105), program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian itu menampilkan barisan pelantun suara bekerjaya yang pernah tular dalam bidang masing-masing di Malaysia menerusi platform media sosial.

Antara peserta yang terpilih adalah tunang kepada pelakon Raja Afiq, Soffwany atau nama sebenarnya, Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff, 31.

Koperal Pemerhati Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sebelum ini pernah menjadi tular dengan video nyanyiannya bersama iringan kombo PDRM dan dikenali dengan gelaran ‘akak polis cantik’ oleh netizen.

Antara lain yang terpilih adalah  Bobby, 32, (penghantar makanan), Bella, 31, (Eksekutif Perhubungan Awam), Boy, 32, (Krew Teknikal Audio), Jerry, 36, (Setiausaha Pertahanan Awam), Azrul, 38, (Pegawai Lalu Lintas Pembinaan), Farid, 30, (Jurutera Mekanikal), Sulastrie (Anggota Polis), Ameem, 32, (Eksekutif Pemasaran) dan Farah, 32, (Anggota Tentera).

SUARA VIRAL
Antara peserta yang bakal bersaing dalam Suara Viral.

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, inisiatif program itu adalah selaras dengan perkembangan terkini yang lebih terarah kepada kuasa viral di media sosial selain ingin mencungkil bakat nyanyian untuk diketengahkan ke pentas televisyen.

“Mengikut perancangan asal, Suara Viral sepatutnya disiarkan secara langsung. Namun, bagi mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam usaha untuk mengekang wabak Covid-19, program ini hanya akan diteruskan dengan rakaman awal tanpa melibatkan kehadiran penonton di studio,” katanya pada sidang media Suara Viral yang diadakan secara virtual baru-baru ini.

Iklan

Persembahan peserta akan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Misha Omar dan Akim Ahmad serta juri undangan pada setiap minggu.

Menariknya, Suara Viral turut memperkenalkan Juri Duduk Rumah yang terdiri daripada selebriti tanah air seperti Idayu, Bob Yusof, Sissy Iman, Sarah Suhairi, Syafiq Farhain dan dua wartawan hiburan berpengalaman, Niezam Abdullah dan Sudyr Tahir.

Iklan

Format penjurian adalah berdasarkan sistem pecahan pemarkahan 70 peratus oleh barisan juri profesional di studio dan 30 peratus oleh Juri Duduk Rumah. Suara Viral dihoskan oleh pengacara  Datuk AC Mizal serta Marsha Milan selaku pengacara Backstage.

Juara Suara Viral akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 berserta trofi sumbangan Astro.