RITMA perjalanan Anna Jobling dalam industri seni penuh ranjau. Beliau tidak hadir ke dunia penuh glamor ini hanya berbekalkan raut wajah kacukan Inggeris-Melayunya yang jelita.

Sebaliknya, sejak usia belasan tahun lagi, Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman sudah berusaha keras.

Ketika umurnya 15 tahun, beliau sudah bergelar model yang menghiasi iklan komersial televisyen dan majalah.

Pada usia 18 tahun pula, empunya diri memberanikan diri mencuba nasib dalam pencarian Dewi Remaja 2018/2019 yang merupakan platform buruan para gadis untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri seni.

Meskipun takhta kejuaraan tidak berpihak kepadanya dan sekadar memenangi tempat ke-4, Anna sesekali tidak menganggap diri beliau insan yang kecundang.

Namun, namanya tiba-tiba bertiup kencang apabila dituduh menjadi punca pelucutan gelaran Dewi Remaja pada ketika itu.

Ya, mengaku dirinya terkilan dengan tuduhan semberono dan tidak tentu fasal, tegas gadis berusia 21 tahun itu, beliau enggan menoleh ke belakang. Biarlah ‘ribut taufan‘ itu berlalu.

Kata Anna, mengapa perlu takut, bersedih waima perlu mengasingkan diri, sedangkan tohmahan tersebut ternyata tidak benar. Tekad itulah yang dijadikan azimat paling ampuh untuk dirinya bangkit dan terus melangkah ke hadapan.

Sikap tidak ambil peduli itu diiringi dengan semangat dan iltizam, membuatkan kerjaya seninya kini bergerak bagaikan roda yang sentiasa berputar tanpa henti.

Buktinya, penulis sukar untuk mendapatkan waktu sesuai untuk mewawancaranya. Bukan kerana beliau menolak, tetapi disebabkan jadual kerjanya yang terlalu padat.

Bekas Miss HRH Sultanah Hajjah Kalsom 2018 itu tidak mengecewakan SinarPlus. Baru-baru ini beliau menyusun jadual untuk sesi temu bual secara eksklusif bersama kami, meskipun ia diadakan secara virtual.

Satu persatu pertanyaan yang diajukan dijawab. Namun, nampaknya beliau masih menyimpan kemas dan rapi tentang beberapa soalan yang memerlukan jawapan. Ujar Anna, biarlah ia tetap menjadi satu rahsia dan misteri yang perlu disimpan erat sampai bila-bila.

Momentum seni

Tidak mengapa, penulis menghormati permintaannya. Ya, setiap orang mempunyai cerita, titik fokus yang hendak dituju, cita-cita, harapan, pandangan hidup dan cara hidup masing-masing.

Begitu juga Anna. Bersama penulis, beliau memilih untuk memulakan algoritma bicara mengenai momentum dirinya sebagai anak seni.

Katanya, keputusan untuk ‘menjebakkan‘ diri dalam bidang lakonan tidak mudah sebenarnya.

“Pada awalnya, keyakinan itu langsung tidak ada. Saya rasa diri ini tidak begitu arif dalam menterjemahkan sebarang watak yang diberikan lebih-lebih lagi apabila berada di depan kamera.

“Jujur saya katakan, selepas Dewi Remaja berakhir, saya meneruskan kerjaya saya sebagai model. Saya ambil masa beberapa tahun untuk menjadi pelakon,“ akuinya yang hanya mula berlakon sekitar tahun lalu.

Penulis menyedari kehadirannya menerusi filem Pasal Kau yang disiarkan menerusi Netflix pada Oktober 2020 dan drama Kalung.

Wajahnya akan semakin kerap muncul di layar kaca tidak lama lagi apabila diberi kepercayaan memegang watak penting menerusi beberapa buah drama.

Anna secara eksplisit berkata, rentak positif itu cukup membahagiakannya.

Dalam pada itu, beliau yang turut berkecenderungan menjadi pengacara turut mengakui kekurangan yang ada pada diri yang ramai orang sudah ketahui. Tidak lain tidak bukan adalah masalah bahasa Melayunya yang kurang fasih.

Benar, sekali dengar, gaya bicaranya kedengaran seperti seorang wanita Inggeris yang berusaha bertutur dalam bahasa Melayu sehabis baik.

Namun, semangatnya boleh dipuji. Bagi gadis itu, beliau tidak melihat hal itu sebagai satu halangan untuk melebarkan sayapnya di medan seni.

Beliau mahu mencontohi selebriti wanita berdarah kacukan lain seperti Maya Karin, Diana Danielle, Amelia Henderson dan Zahirah Macwilson.

“Saya banyak berlatih bertutur dalam bahasa Melayu ketika berada di lokasi penggambaran dan akan bertanya jika ada kesalahan sebutan.

“Ibu saya yang berketurunan Melayu menjadi individu yang paling banyak membantu saya memperkayakan bahasa Melayu saya. Dengan cara ini, saya berharap dapat memperbaiki diri menjadi lebih baik,“ kongsi anak tunggal itu yang membesar dengan dua budaya yang berbeza.

Kepada SinarPlus, Anna menegaskan, wajah kacukan yang dimilikinya bukan satu jaminan beliau akan menerima tawaran berlakon yang melimpah-ruah.

“Sebelum ini saya pernah beberapa kali ditolak oleh produksi kerana tidak mampu untuk berlakon drama Melayu. Sekali lagi saya katakan, memiliki wajah kacukan bukan kelebihan atau lebih memudahkan sebenarnya,“ terangnya.

Anak tunggal

Iklan

Terlanjur bercerita soal ibunya, Anna terlebih dahulu memberitahu bahawa dirinya lebih selesa andai kisah peribadi keluarganya hanya milik mereka sekeluarga, bukan untuk dikongsi dengan masyarakat.

Sedar akan dirinya yang berstatus selebriti, namun demi menjaga hati kedua-dua orang tuanya, beliau memikirkan pendekatan itu sangat wajar.

Ungkap beliau, cukuplah dirinya memperkenalkan ibunya sebagai Maria dan bapanya, sebagai Abdul Rahman sahaja.

“Saya mohon maaf kerana tidak mahu mengulas lanjut mengenai mereka. Ibu dan ayah memilih untuk tidak terlalu menonjol di media dan saya bimbang hal ini akan membuatkan mereka berasa kurang selesa.

“Pun demikian, mereka berdua merupakan tulang belakang dan sentiasa menyokong apa yang saya inginkan dalam hidup ini,” luahnya.

Selaku anak tunggal, Anna berkata, beliau akan menggunakan kelebihan itu untuk meraih sepenuh perhatian dan kasih sayang yang tidak bertepi daripada kedua-dua insan yang telah membesarkannya.

Pun begitu, ucap Anna, kadangkala beliau berasa seperti inginkan adik beradik lain. Benar, ia satu yang mustahil. Katanya, tidak mengapalah. Memegang status itu (anak tunggal) membolehkannya belajar hidup lebih berdikari dan mencari solusi sendiri untuk menghiburkan hati.

Ceburi sukan lasak

Nampaknya minat Anna seperti penyanyi Amir Masdi yang pernah menjadi penghias muka depan SinarPlus yang sangat sayangkan kucing.

Beritahu model itu, beliau memiliki 10 ekor kucing yang antaranya dinamakan sebagai Comot, Alan, Jupiter, Jasmine, Meena, Dominique dan Teddy Bear.

Iklan

Angka itu terlalu banyak dan adakah gadis cantik itu ada masa untuk membelai si bulus itu? Jawabnya: “Jika sudah menjadi pencinta kucing, kita akan menjadi lebih sabar dan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada mereka. Kucing-kucing inilah menjadi penghibur saya tatkala penat bekerja.“

Bagi Anna, kucing, mendengar muzik, menonton Netflix, berenang, membaca dan menulis merupakan antara intipati yang memberikan kepuasan maksimum dalam hidupnya.

Penggemar masakan tempe itu juga mempunyai sisi yang berbeza yang sebenarnya ramai yang tidak tahu. Kepada penulis, Anna mendedahkan bahawa beliau bergiat aktif dalam sukan seni bela diri campuran (MMA).

“Ya, saya seorang yang sukakan cabaran dan aktiviti lasak sudah sinonim dengan saya. Buat masa sekarang, MMA adalah aktiviti yang saya gemar. Sebelum ini saya pernah melakukan aksi terjun bungy di Scotland. Insya-ALLAH, jika diberi kesempatan, saya ingin mencuba sukan terjun udara pula,“ katanya dengan nada teruja.

Seperkara lagi tentang sisi lain selebriti Pan-Asia itu, beliau berkongsi tabiat unik pemakanan hariannya yang tidak makan daging.

Sebaliknya, Anna lebih senang menikmati juadah berasaskan sayur-sayuran dan produk tenusu seperti susu dan keju, selain madu serta telur.

Disebabkan amalan diet sayuran (vegetarian) itu telah menyebabkan ada pihak beranggapan dirinya seorang vegan (hanya makan sayur-sayuran).

“Begini, vegan dan vegetarian itu dua perkara berbeza. Vegan hanya mengamalkan diet sayuran sepenuhnya, manakala vegetarian tetap mengamalkan diet sayur-sayuran bersama produk yang dihasilkan daripada haiwan,“ jelasnya yang mengamalkan gaya pemakanan sihat itu sekitar lima tahun lalu.

Disebabkan itu pada setiap kali sambutan Aidilfitri atau Aidiladha, Anna tidak akan menjamah lauk seperti rendang daging atau ayam masak merah.

Bagi beliau, hidangan kuah kacang bersama nasi impit atau lemang sudah memadai.