KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya  kini mengadakan Program Seni dalam Talian@#dudukdirumah atau Arts Online@ #stayathome yang merangkumi pelbagai bidang untuk penggiat dan pencinta seni budaya mencungkil bakat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini adalah salah satu usaha untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka yang berbakat untuk mengisi masa lapang sepanjang berada di rumah dengan menyertai pertandingan dan manifestasi seni budaya.

Konsep penganjuran program ini dilaksanakan dengan menggunakan aplikasi rakaman video melalui telefon pintar dan melakukan aksi-aksi yang telah ditetapkan mengikut bidang seperti tari, teater, muzik, bahasa dan persuratan serta seni pertahankan diri iaitu silat.

Selain pertandingan, JKKN juga mengadakan Manifestasi seni budaya iaitu Program Jom Bercerita di mana video yang menampilkan tokoh dan budayawan serta penggiat seni dengan bercerita kisah-kisah rakyat dan hikayat dalam penerapan nilai-nilai murni seperti Awang Batil, Tok Selampit dan sebagainya.

Manakala Program Jom Belajar pula menampilkan penggiat seni, tokoh dan budayawan dalam memberi tunjuk ajar secara tutorial seperti lipatan sampin, membuat tengkolok, manjahit manik, membuat busana, permainan tradisional dan permainan muzik tradisional serta moden.

Semua pertandingan dan manifestasi ini akan dilaksanakan secara rakaman dan perlu dihantar kepada urusetia untuk dinilai oleh juri yang telah dilantik berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing bagi mencari pemenang sebelum ianya disiarkan di semua laman sosial rasmi JKKN.

Pertandingan tersebut diharapkan dapat menanam nilai-nilai murni dalam diri sekali gus dapat melahirkan modal insan yang berguna kepada negara.

Semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta yang menyertai mampu membuatkan masyarakat lain turut sama membuat perkara-perkara yang bermanfaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Iklan

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, sebanyak sepuluh pertandingan dan dua  Manifestasi Seni Dalam Talian #dudukrumah yang diadakan adalah salah satu usaha menyemarak dan memartabatkan seni budaya.

“Walaupun berada di bawah PKP,  kami memberi ruang dan peluang kepada penggiat dan pencinta seni budaya untuk mempamerkan kreativiti, pengetahuan, ketajaman pemikiran, penyerlahan estetika dan cakna terhadap seni budaya tempatan,” katanya.

Program itu bermula pada 14 hingga 22 April, manakala tarikh tutup penyertaan pada 23 April.

Iklan

Maklumat lanjut berkaitan Program Seni Dalam Talian itu boleh diperolehi menerusi www.jkkn.gov.my dan platform media sosial rasmi JKKN di @JabatanKebudayaandanKesenianNegara (Facebook) dan @mysenibudaya (Instagram, Telegram, Twitter dan YouTube).

 

(FOTO: JKKN)