PENDAKWAH bebas, Pencetus Ummah (PU) Azman membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran salah faham ketika sesi siaran langsung di akaun Instagramnya.

PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, menyifatkan kenyataannya mengenai isu poligami dan perihal isteri-isteri Rasulullah SAW telah disalahertikan.

“Cik Man minta maaf terhadap salah faham terhadap kenyataan Cik Man yang mengatakan poligami bukanlah sunnah tapi keadilan itu Sunnah.

“Cik Man bukan menolak kesunahan poligami secara total tetapi menepis pendirian segelintir yang mengatakan sunnah poligami hanya berdasarkan kepada bilangan tapi mengabaikan soal keadilan dalam rumahtangga.

“Cik Man juga memohon maaf atas penggunaan perkataan yang kurang sesuai merujuk kepada isteri-isteri Rasulullah iaitu ‘orang tua’.

“Tidak ada bentuk penghinaan ke atas mereka tetapi merujuk isteri-isteri Nabi adalah wanita-wanita yang pernah berkahwin sebelum berkahwin dengan Rasulullah,” ujarnya dalam sebuah video pendek.

Penjelasan PU Azman atau mesra disapa dengan panggilan Cik Man mengenai kenyataannya.
Penjelasan PU Azman atau mesra disapa dengan panggilan Cik Man mengenai kenyataannya.

Berlapang dada dengan teguran yang diterima, PU Azman turut berterima kasih kepada pihak tertentu yang tampil membantu dan membuat teguran terhadapnya.

“Cik Man ucapkan terima kasih kepada ustaz-ustaz dan individu yang memurnikan salah faham ini dan memberi teguran.

“Sesungguhnya kekhilafan itu adalah kelemahan Cik Man sendiri,” katanya.

Iklan

https://www.instagram.com/p/B_jyOlGptA2/?utm_source=ig_web_copy_link

Dalam pada itu Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di ruangan komen Instagram PU Azman memuji tindakan penceramah bebas itu bersikap jujur dalam memastikan fakta-fakta agama tidak disalah fahami.

Iklan

“Sebenarnya bukan mudah untuk bersikap begini (mengakui kesilapan). Keikhlasan dan amanah kepada agama sahaja yang memampukan seseorang bertindak begini (memohon maaf).

“Semoga ALLAH SWT merahmati Ustaz Azman. Saya kenali beliau sejak dahulu seorang yang dalam cintanya kepada agama ini. Alhamdulillah,” tulis Dr Maza.

Bukan itu sahaja, pengikut Instagram PU Azman yang terdiri daripada selebriti juga turut memuji tindakannya memohon maaf dan membetulkan salah faham.