BAGI memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TV AlHijrah mengambil tanggungjawab dalam memastikan rakyat Malaysia kekal tenang sepanjang menghadapi pandemik Covid-19 ini.

Melalui kempen #MusaadahCovid19 yang dilhamkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, TV AlHIjrah kekal bersiaran dengan hidangan pelbagai rancangan berinformasi serta mendidik seperti rancangan bual bicara Assalamualaikum, rancangan Analisis, Berita AlHijrah, Maidatul Quran dan lain- lain.

Terbaru, stesen berkonsepkan gaya hidup Islam ini menyiarkan siaran langsung rancangan #QuranTime dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Warisan Ummah Ikhlas.

#QuranTime disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 12 tengah hari hingga 1 petang dengan menggunakan tagline MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.

Menerusi siaran satu jam #QuranTime, penonton seisi keluarga berpeluang untuk bertadarus bersama-sama tetamu jemputan yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang seperti para ilmuan agama, ahli akademik, huffaz dan ramai lagi.

Ditemani hos rancangan iaitu Fazrul Ismail, seorang pentadabbur Al-Quran yang tidak asing lagi, ke semua tetamu jemputan akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah.

Iklan

Nikmat berdua-duaan dengan kitab suci al-Quran bukan selalu dapat dinikmati oleh semua umat Islam.

TV AlHijrah menjadikan #QuranTime sebagai penenang jiwa yang mampu menenangkan, mendidik dan memberi kekuatan dalaman kepada seluruh umat Islam Malaysia dalam menghadapi ujian Allah yang sangat besar ini.

Iklan

Paling penting, #QuranTime dilihat mampu dijadikan platform terbaik untuk menyatukan hati-hati penonton dalam membina tabiat baru dalam meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

Jadi jangan lupa untuk terus bersama #QuranTime setiap hari selama satu jam hanya di TV AlHijrah, TV Kita Untuk Semua.