“Akak, ada makan (makanan) tak?”

Soalan ringkas daripada dua individu yang dipercayai kelaparan cukup meruntun jiwa personaliti, Ras Adiba Radzi.

Menerusi sebuah video berdurasi 3 minit dan 13 saat yang dimuat naik di dalam laman sosial Instagram @rasadibaradzi , beliau berkongsi momen pilu yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bicara Ras Adiba, ketika meletakkan kenderaan, beliau telah didatangi oleh dua orang pejalan kaki yang meminta makanan.

“Lalu, saya bertanyakan sudah berapa hari tidak menjamah makanan dan mereka memaklumkan kira-kira tiga hingga empat hari tidak makan.

“Saya difahamkan, mereka lazimnya mendapat bantuan makanan daripada kumpulan sukarelawan yang turun padang, tetapi kini sebaliknya,” tutur bekas pembaca berita TV3 itu dalam nada sedih tatkala mengenang situasi terbabit.

Tambah Ras yang kini berkerusi roda, dua individu berkenaan turut bertanyakan sekiranya terdapat makanan di dalam kereta beliau. Malangnya tiada juadah utama kerana yang ada hanyalah makanan kering.

Bagaimanapun, enggan membiarkan mereka kelaparan, Ras menyerahkan semua bekalan makanan itu kepada kedua-dua insan terbabit untuk dibawa pulang dan masak.

Iklan

“Bukan itu sahaja, mereka juga memohon bantuan terakhir berupa RM1 daripada saya untuk membeli sebotol air mineral.

“Kita yang menetap di bandar mudah mengeluh bosan tinggal di rumah, walhal masih ramai yang berlegar-legar di jalanan kelaparan dan mencari makanan. Saya berdoa semoga mereka dapat bertahan.

“Kepada kawan-kawan di luar sana, duduk di rumah dan hargailah apa yang kita miliki,” saran beliau sebelum menutup bicara.

Iklan

Pada situasi hari ini, kumpulan sukarelawan terbatas untuk turun ke jalanan bagi menghulurkan bantuan kerana mematuhi Perintah Kawal Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan antara 18 Mac hingga 14 April ini.

Foto: Instagram @rasadibaradzi