PEMBACA berita kaum Cina menyampaikan berita berbahasa Melayu bukan satu pemandangan baharu dalam dunia penyiaran.

Namun berbeza dengan Rasyidah Abu Johan yang memecah tradisi apabila menjadi pembaca berita berketurunan Melayu pertama membaca Berita Mandarin di RTM (TV2) bermula 26 Januari lalu.

Malah kefasihan wartawan penyiaran berusia 32 tahun itu berbahasa Mandarin telah mendapat pujian ramai terutamanya dalam kalangan penonton setia TV2.

Berkongsi mengenai dirinya, Rasyidah berkata, dia mendapat pendidikan awal hingga tingkatan enam di sekolah aliran Cina dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Selepas tamat pengajian di UTAR, dia kemudiannya menyertai RTM sebagai penerbit rancangan pada tahun 2011.

“Sejak awal berkhidmat di RTM, saya di tempat di bilik berita termasuk membuat liputan berita bagi meja am. Ketika itu saya tak terfikir langsung untuk menjadi penyampai berita Mandarin.

“Bagaimanapun, pihak atasan telah menawarkan saya ke Meja Am Bahasa Mandarin dan saya terfikir inilah masanya untuk praktikkan semula bahasa Mandarin dan terus bersetuju.

“Saya bermula dengan tugas sebagai penolong penerbit, kemudian penerbit berita dan banyak buat kerja-kerja belakang tabir termasuk penulisan skrip serta keluar ke lapangan membuat liputan.

“Selepas saya mula terlibat sebagai suara latar berita, baru saya mendapat tawaran untuk membaca berita,” katanya kepada Sinar Plus.

Dapat sokongan ramai

Mengakui agak bimbang dengan penerimaan masyarakat pada awalnya, Rasyidah bagaimanapun mengakui sudah semakin selesa dengan tugasnya itu.

Malah Rasyidah juga mendapat sokongan penuh daripada rakan sekerja termasuk penyampai Berita Perdana, Ivan Toh.

“Pada awalnya saya memang bimbang juga untuk membaca Berita Mandarin sebab bila terlibat dengan kerja belakang tabir, tidak ada kamera yang merakam.

“Berbeza dengan membaca berita secara langsung, saya tahu banyak mata yang memerhati dan saya perlu elak buat kesilapan seperti salah sebutan.

“Mengatasi rasa gemuruh itu bukan mudah dan dalam masa sama, saya juga bimbang dengan persepsi masyarakat.

Iklan

“Namun rakan sekerja terutamanya Ivan banyak membantu dan memberi sokongan. Di samping latihan demi latihan daripada kerja juga banyak membantu saya memperbaiki sebutan.

“Alhamdulillah selepas beberapa kali ke udara, saya dapat banyak maklum balas positif. Kalau ada kritikan, saya lihat dari sudut membina,” ujarnya yang berharap dapat mengendalikan program berbahasa Mandarin suatu hari nanti.

Rasyidah berkata, dia berharap kelebihannya itu akan membuka mata masyarakat bahawa pentingnya untuk semua orang menguasai lebih daripada satu bahasa.

Mahu ubah stigma

Katanya, biarpun ada stigma negatif mengenai mereka yang bersekolah di aliran Cina atau Tamil, namun ia berbalik kepada pendidikan dan kerjasama antara ibu bapa serta guru.

Iklan

“Saya tak nafikan ada juga dulu yang pertikaikan mengenai pembelajaran agama dan sivik bagi anak Melayu yang belajar di aliran Cina atau Tamil.

“Pada pandangan saya, dalam apa pun yang kita lakukan, ia kena seimbang. Walau belajar dan bergaul dengan bukan Islam, agama itu tetap nombor satu.

“Malah dari dulu lagi, ibu dan ayah saya sangat pentingkan pendidikan agama. Balik sekolah, saya akan mengikuti kelas fardu ain dan belajar mengaji.

“Pendidikan itu bukan hanya terhad di sekolah, tapi perlu bersambung di rumah dan ibu bapa harus memainkan peranan,” ujar anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu.