TIDAK gemarkan cerita seram dan mengakui seorang yang penakut, bukan menjadi alasan buat pelakon berbakat besar, Reen Rahim untuk membintangi naskhah bergenre serupa.

Justeru demi melawan ketakutan dalam diri sendiri, Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim memberanikan diri menerima lamaran Datuk Seri Eizlan Yusof untuk bergandingan dalam filem seram, Town Mall.

Membawakan watak sebagai gadis misteri bernama Akma, Reen berkata, ia memberi pengalaman baharu yang cukup berharga.

“Akma seorang gadis yang sangat misteri. Kehadirannya dalam setiap babak itu akan membuatkan penonton seperti tertanya-tanya siapa dia.

“Pengalaman bekerja dengan Datuk Eizlan pula memang menyeronokkan kerana dah beberapa kali bekerja dengan dia. Bila ditawarkan berlakon dalam filem ini, saya tak fikir panjang.

“Bagi saya bila bekerja dengan orang yang lebih berpengalaman, kita akan serap tenaga positif dan dapat bekerja dengan lebih baik.

“Apatah lagi Town Mall sendiri adalah sebuah karya yang sangat menarik. Dari kisah benar yang ditulis dalam novel dan kemudiannya ke layar perak.

“Walaupun saya tak suka tonton filem seram, tapi saya cabar diri buat sesuatu yang berbeza,” katanya kepada Sinar Plus.

REEN RAHIM AKMA
Reen Rahim memegang watak sebagai Akma, seorang gadis misteri dalam Town Mall.

Berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran Town Mall, bintang berusia 32 tahun itu mengakui ada berhadapan dengan satu situasi mistik.

“Ada dalam satu babak, Akma dirasuk dan kemudian ditolak oleh Rusdi (Eizlan). Bila jatuh, saya perlu bangun dalam mood dirasuk dan ketika itu saya keluarkan suara yang agak menyeramkan.

“Ketika proses dubbing, saya cuba dapatkan balik tone suara sama, tapi tetap tak dapat walaupun beberapa kali berbuat demikian.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak berdepan dengan pengalaman mistik atau gangguan lain sepanjang penggambaran,” jelasnya.

Filem adaptasi novel kisah benar karya Hasrudi Jawawi yang diterbitkan oleh Buku Prima itu turut dibintangi Intan Ladyana, Nynaa Harizal, Adam Shahz dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Iklan

Kembali sibuk

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, bekas juara Pilih Kasih musim ketiga itu kembali sibuk dengan penggambaran.

Ujar Reen, dia kini berada di Kelantan bagi menyambung semula penggambaran filem Daddy Ku Gangster yang sebelum ini tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Gembira dapat kembali ke set, buat apa yang kita minat dan tidak tertekan untuk capai sasaran.

Iklan

“Alhamdulillah jika diukur perkembangan kerjaya dari 2011, saya memang rasa perkembangan positif. Sejak dulu saya berserah pada rezeki dan percaya rezeki tidak pernah salah alamat.

“ALLAH SWT sentiasa bantu dan tahun demi tahun, saya semakin mendapat kepercayaan pengarah serta penerbit untuk membawakan watak-watak yang berbeza,” katanya mengakhiri perbualan.