HARI raya ini memang kita tak dapat lari daripada menikmati menu raya. Antara yang ‘wajib’ sudah tentulah menu raya yang terdiri daripada biskut raya dan kek.

Itu antara juadah pemanis mulut yang ‘memanggil- manggil’ kita untuk menjamahnya yang biasanya rupa luarannya kebanyakannya memang menggoda. Comel berwarna-warni dan terlihat sungguh menyelerakan.

Bagi yang menjaga diet pun pasti boleh kecundang dibuatnya. Kemudian rasa menyesal tak sudah apabila kesihatan diri mula dirasakan terganggu-gugat.

Apa tidaknya, bahan biskut dan kek raya dikatakan antara punca saiz baju asalnya S, menjadi L dalam masa singkat. Itu belum dikira bab kesihatan yang kadangkala boleh tersandar jadinya bila melihat julat bacaan, darah tinggi, kencing manis dan kolestrol tubuh.

Begitupun tahukah anda bahawa risiko itu boleh dikurangkan sekiranya anda tahu memilih bahan asas utama dalam pembuatan kuih raya seperti biskut dan kek iaitu antara mentega dan marjerin?

Apa beza antara mentega dan marjerin hingga boleh mempengaruhi kesihatan tubuh?

Ini terang Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad dalam perkongsian beliau di Facebook nya baru-baru ini.

Marjerin tak lagi natural

Menurut Dr Zubaidi, sebelum ini ramai orang seperti dirinya menganggap bahawa marjerin lebih sihat daripada mentega.

Katanya, ini kerana kita sering diberitahu melalui iklan bahawa marjerin adalah pengganti yang lebih sihat dan murah kepada mentega.

“Pada hakikatnya mentega lebih baik daripada marjerin.

“Mentega diperbuat daripada bahan yang asli iaitu krim (daripada susu) dan sedikit garam. Itu pun jika kita memilih keju masin (salted butter). Jika tidak, mentega tanpa garam hanya diperbuat oleh susu sahaja.

“Marjerin pula diperbuat daripada proses yang diperbuat oleh industri pemakanan dari minyak (yang bersifat cecair dalam susu bilik) kepada bahan transfat (yang menjadikan cecair minyak sebagai pepejal). Jadi ia bukanlah sesuatu yang natural tetapi sesuatu bahan tidak lagi natural dan berbahaya pada kesihatan!,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, marjerin dicipta sebagai alternatif mentega kerana ia lebih murah dan lebih mudah dihasilkan dengan banyak bermula semenjak tahun akhir 1800-an lagi.

Pada masa itu (awal 1900-an) permintaan terhadap mentega terlalu banyak berbanding dengan pengeluaran susu (bahan utama membuat mentega) yang semakin mahal. Jadi marjerin dihasilkan secara besar-besaran agar ia boleh dinikmati oleh golongan yang berpendapatan rendah, terang beliau.

Marjerin dihasilkan dengan menambahkan hydrogen pada minyak sayuran agar ia lebih stabil, menjadi beku, dan mudah disapu pada roti.

“Oleh kerana marjerin lebih murah jadi ia menjadi popular dan boleh dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Iklan

Ini fakta lebih penting untuk kesihatan kita yang dikongsikan oleh Dr Zubaidi:

Lemak sihat seperti omega 3 adalah sangat penting untuk perkembangan dan fungsi otak. Kita juga memerlukan vitamin A, D dan E (vitamin serap lemak). Jadi lemak sihat ini penting dan terdapat hanya pada susu dan mentega. Tidak ada pada marjerin!

Menurut beliau lagi, transfats dalam marjerin bertindak tidak seperti minyak sihat yang ada pada susu dan mentega kerana struktur sebatian transfat berbeza. Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Dalam kajian terbaru (Dalainas & Ioannou, 2008) menunjukkan pengambilan transfat dalam makanan boleh menyebabkan masalah penyumbatan saluran darah pada jantung sebanyak 23 peratus.

Dalam kajian lain pula menunjukkan pengambilan transfat boleh meningkatkan risiko mendapat dementia (nyanyuk) dalam kalangan warga tua, katanya.

Iklan

Sementara mentega pula penuh dengan vitamin yang meningkatkan sistem daya tahan. Ia juga mempunyai sebatian Lauric Acid (juga terdapat pada susu ibu dan minyak kelapa) dalam kuantiti yang sederhana tetapi sangat penting.

“Mentega juga mengandungi lemak tepu yang membekalkan banyak tenaga terutama atlet dan mereka yang bekerja menggunakan banyak tenaga.

“Bagi mereka yang bekerja di ofis (tidak menggunakan banyak tenaga) atau pesakit kronik seperti diabetes, pesakit tekanan darah tinggi atau pesakit yang mempunyai kolestrol yang tinggi, boleh mengambil mentega dalam kuantiti yang sederhana setelah mendapat pandangan doktor yang faham tentang nutrisi,” kata beliau.

Kesimpulannya, Dr Zubaidi menterjemahkan bahawa mentega lebih baik dan bermanfaat daripada mengambil marjerin dalam kuantiti yang sederhana.

Jadi mana satu pilihan anda? Yang lebih sihat tetapi mahal atau yang lebih murah tetapi boleh memudaratkan kesihatan? Pilihan di tangan anda.

Nasihat SinarPlus apa pun yang dijamah dan masuk ke dalam perut, bersederhanalah… -AG #rantaiankasih