GITARIS kumpulan Kristal, Rody  menyambut kehadiran mata kedua apabila isterinya, Niena Azman selamat melahirkan seorang bayi lelaki.

Berita gembira tersebut dikongsi isteri Rody iaitu Niena atau sebenarnya Nur Izwani Azman menerusi laman Instagramnya sebentar tadi.

“Alhamdullilah, akhirnya keluar hero juga. Kali ni struggle sikit berbanding Adith.

“Apa-apapun terima kasih pada Dr. @yuliarifuddin dua-dua hero dia sambut. Tenang saja dia, walaupun Niena dah macam apa jer kat Labour Room tu.

“En. Mi nak telan air liur pun tak boleh. Muka dia tengok Niena sakit dah serupa muka cari tali gitar yang putus tak jumpa,” ujar Niena.

Penjaga gol Skuad Wanita Futsal Kebangsaan itu juga meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buat dirinya dan bayi yang baru dilahirkan itu.

Perkongsian itu mendapat perhatian daripada para pengikutnya di Instagram yang turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah, selain doa buat Niena dan Rody.

Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 27 April 2018 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Adithya Jabbar yang kini berusia setahun.

 

(Foto: Instagram Niena Azman)