MESKIPUN tidak dapat pulang beraya di Pulau Pinang sebagaimana kebiasaan, pelakon Ruhainies bersyukur tetap berpeluang meraikan Aidilfitri dalam suasana yang meriah di Kuala Lumpur.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 28, biarpun hanya berada di dalam rumah dan tidak ke mana-mana, raya tetap bermakna buatnya apabila dapat bersama keluarga.

“Kalau ikutkan tradisi kami sekeluarga, setiap tahun memang menjadi kemestian untuk pulang beraya di Pulau Pinang bersama sanak saudara.

“Bagaimanapun apabila kerajaan mengeluarkan arahan larangan rentas negeri, kami sekeluarga OK sahaja untuk beraya di Kuala Lumpur, sekali gus merasai pengalaman baharu.

“Saya rasa tak perlulah nak bersedih sangat tak dapat balik raya di kampung. Tahun ini sahaja tak dapat balik, tahun depan insya-ALLAH semuanya akan kembali seperti biasa,” katanya.

Berkongsi kemeriahan Lebaran yang diraikan baru-baru ini, kata Ruhainies, dia dan keluarga bersyukur kerana segala perancangan diatur berjalan lancar.

“Pada awalnya kami tertanya-tanya adakah sambutan raya kali ini akan meriah tanpa sanak-saudara di kampung atau kami akan bersedih di pagi raya.

“Alhamdulillah rupa-rupanya kemeriahannya tetap dirasai kerana kami masih boleh beraya bersama menerusi panggilan video, perkongsian foto di grup What’s App keluarga dan sebagainya.

“Apa yang penting, ibu tetap menyediakan pelbagai juadah raya seperti biasa seperti Ayam Piru dan sebagainya,” ujarnya.

Biarpun hanya beraya di rumah, kata Ruhainies, dia tetap mengenakan baju raya bukan sahaja pada hari raya pertama, tetapi sehingga seminggu raya.

“Tahun ini kami tidak menerima tetamu dan tidak juga menjadi tetamu di rumah orang lain meskipun kenalan dekat demi kebaikan semua.

“Bagaimanapun, saya tidaklah sampai memberikan notis larangan untuk menolak kunjungan. Alhamdulillah masing-masing faham dan maklum tentang bahaya Covid-19.

“Walaupun tak ke mana-mana, saya tetap pakai baju raya macam biasa sehingga raya kelima. Malah ibu juga tetap masak juadah sehingga seminggu raya,” akuinya.

Tambah Ruhainies Aidilfitrinya kali ini turut bermakna apabila buat pertama kalinya dapat beraya bersama kekasihnya yang kini berada di Malaysia berikutan penularan Covid-19.

Iklan

“Sebelum ini kami raya berjauhan di mana saya di KL dan dia pula di London. Alhamdulillah, kali ini sempatlah jumpa untuk beraya walaupun hanya sekejap sahaja,” akuinya.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Kanvas itu mengakui tidak sabar untuk kembali ke set penggambaran drama tersebut tidak lama lagi.

“Selepas beberapa bulan tertangguh, alhamdulillah penggambaran drama Kanvas akan disambung kembali.

“Kami baru sahaja menjalani 20 peratus penggambaran drama 28 episod itu sebelum ia ditangguhkan kerana PKP.

Iklan

“Saya harap semua orang dapat mematuhi SOP dan membiasakan diri dengan normal baharu ini sepanjang penggambaran berlangsung,” katanya.

 

[FOTO: Instgram Ruhainies]