Rumah Terbuka, hasrat Naim Daniel tidak kesampaian

May 23, 2020
Oleh Wawann Mohd

BIARPUN hasrat untuk mengadakan rumah terbuka sekali gus meraikan rakan-rakan dan peminat selepas kemenangannya dalam Anugerah Juara Lagu baru-baru ini tidak kesampaian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan, penyanyi Naim Daniel tetap percaya hikmah yang sedang menanti.

Sentiasa positif dengan apa yang berlaku, Naim berkata, terlalu banyak pengajaran yang diperoleh dan sepatutnya dijadikan renungan bersama.

“Saya akui ramai yang terjejas akibat penularan Covid-19 ini, tetapi dalam masa yang sama kita sebenarnya belajar tentang banyak perkara baharu yang mungkin selama ini kita tidak nampak.

“ALLAH bagi nikmat dan boleh Tarik bila-bila masa sahaja DIA mahu. Jadi sentiasalah bersyukur dan menghargai apa yang kita ada dengan sebaiknya.

“Walaupun banyak perancangan saya untuk Aidilfitri kali ini tidak dapat dilaksanakan, tapi saya bersyukur kerana masih berpeluang untuk menyambut hari mulia ini dengan keluarga saya,” ujar Naim yang bakal meraikan Aidilfitri di rumah keluarganya di Semenyih, Selangor.

Meneruskan tradisi raya bersama keluarga sebagaimana sebelum ini, kata Naim, seminggu menjelang sambutan Aidilfitri, kedua ibu bapanya akan mula sibuk membuat pelbagai persiapan.

“Selalunya kami akan buat sendiri lemang dan papa adalah orang yang paling sibuk pastikan lemang kami menjadi setiap kali raya.

Iklan

“Jadi tahun ini kami masih teruskan tradisi yang sama dengan menyediakan juadah raya yang menjadi kemestian keluarga, termasuk rendang, nasi impit dan sebagainya.

“Bukanlah kata nak raya beriya, tetapi mood raya tetap kena ada walaupun PKPB kerana kami mahu menghargai masa berkumpul bersama keluarga,” jelas Naim.

Iklan

Tambah anak ketiga daripada empat beradik ini lagi, dia mengharapkan agar Aidilfitri tetap memberikan sesuatu yang istimewa kepada semua meski di mana pun ia diraikan.

“Alhamdulillah setakat ini saya belum pernah merasai kesedihan besar ketika Aidilfitri dan disebabkan itulah saya sentiasa menghargai setiap detik yang ada bersama keluarga dengan sebaiknya.

“Jadi saya berharap mereka yang tak dapat pulang beraya di kampung, janganlah sedih kerana kita masih boleh berhubung dengan keluarga menerusi pelbagai cara.

“Apa yang penting, jaga hubungan dan sentiasa mengambil berat antara sesama selagi masih ada peluang untuk berbuat demikian,” kata Naim.

 

(FOTO: Instagram Naim daniel)

About Wawann Mohd

Biodata Penulis