PENYANYI Rynn Lim menghasilkan sebuah lagu berbahasa Melayu istimewa buat barisan hadapan yang berjuang membedung penularan wabak pandemik Covid-19.

Menurut anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, lagu berjudul Wira Hatiku sebagai tanda penghormatan kepada petugas-petugas yang mengorbankan masa dan bekerja keras di barisan hadapan.

“Bukan senang mereka menjalankan tugas. Usaha dan jasa mereka memberi saya ilham untuk menulis lirik lagu dan merakamnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka. Ini mesej saya untuk dikongsikan dengan rakyat,” katanya.

Sejak video ini dimuat naik ke Facebook, ianya telah mendapat perhatian ramai.

Rynn memulakan kerjaya seninya pada tahun 2002 dan mula dikenali apabila lagu-lagu hits ciptaannya dinyanyikan oleh penyanyi Hong Kong, Singapura, Taiwan dan China seperti JJ Lin, Coco Lee, Gigi Leung Wing Kei, Andy Hui serta Jordan Chan.

Iklan

Tidak lama kemudian, Rynn memperluaskan bakatnya melalui album sulung yang berjudul “1st’, ini secara tidak langsung membuka peluang keemasan kepadanya untuk melebarkan sayap seninya hingga berjaya memenangi anugerah bagi kategori Artis Baru Terbaik (Lelaki) pada majlis berprestij The 17th Taiwan Golden Melody Awards, sekaligus menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama meraih gelaran itu.

Iklan

Pada tahun 2007, Rynn bergabung tenaga dengan Datuk Sheila Majid menghasilkan sebuah lagu duet berjudul Melodi. Lagu tersebut dimuatkan dalam album kedua Rynn dan mendapat sambutan hangat daripada peminat.

“Saya berbesar hati kerana dapat menyanyi bersama Kak Sheila. Saya amat menghargai peluang itu.” ujarnya yang pernah memenangi pelbagai anugerah.