SELEPAS kembali membuat penampilan semula dalam dunia seni, pelakon dan pengacara terkenal Raja Azura, mengakui menerima banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang ingin bekerjasama dengannya.

Bagaimanapun, kata Raja Azura, 48, yang juga dikenali sebagai Kak Engku, tidak semua tawaran dapat dipenuhi kerana dia terikat dengan pelbagai komitmen terutamanya dalam menguruskan anak-anak.

Ibu kepada Megat Muhammad Raziq; 18, Megat Luqman Hakim; 17, dan Puteri Mia Maizurah, 14, itu kini menjadikan bidang seni hanya sebagai hobi.

“Bidang seni bukan lagi keutamaan saya macam dulu. Dulu semua benda nak buat, tetapi sekarang fokus saya lebih kepada keluarga.

“Penampilan kembali ini pun disebabkan rasa rindu dan tawaran daripada kawan-kawan.

“Sebenarnya saya lebih suka memberi jalan kepada pelapis-pelapis baharu untuk mengisi tempat sedia ada, baik dalam bidang pengacaraan mahupun lakonan,” katanya yang kembali menjadi sebutan selepas tampil dalam drama Jujurlah Nikahi Aku.

Dalam pada itu, Raja Azura menyambut baik pengumuman kerajaan membenarkan penggambaran filem, drama dan iklan bermula hari ini Jun ini.

“Saya masih bimbang untuk keluar shooting, tetapi saya berasa lega kerana selepas ini ramai rakan artis boleh mula mencari rezeki seperti dahulu.

“Cuma nasihat saya, jangan langgar protokol kesihatan dan keselamatan yang digariskan oleh kerajaan,” katanya.

Raja Azura yang kini merupakan salah seorang pengacara program Mingguan Wanita di saluran Astro Prima berkata, program bual bicara itu juga kembali memulakan rakaman sejak 2 Jun lalu.

“Semua kru produksi program ini amat menitikberatkan aspek kesihatan sepanjang tempoh rakaman untuk memastikan keselamatan semua warga yang terlibat. Sebab itu saya tidak risau untuk menyambung program kami,” katanya.

Iklan

Dalam perkembagan lain, Raja Azura baru-baru ini diumumkan sebagai pemenang Anugerah Jenama Paling Dipercayai 2020 anjuran Reader’s Digest bagi kategori Penyampai Radio Paling Dipercayai, sekali gus mengekalkan kemenangannya sejak tahun 2016.

“Terkejut betul saya dengan kemenangan itu kerana saya dah lama meninggalkan bidang penyiaran radio. Sebak bercampur gembira.

“Teringat pengorbanan terpaksa bangun jam empat pagi setiap hari, menguruskan makan pakai anak-anak sebelum bertolak ke konti pada pukul 5.30 pagi. Bayangkan kalau bulan puasa pula, pukul tiga pagilah saya bangun,” katanya.

Iklan

Tambah bekas penyampai Sinar FM itu lagi, kemenangan tersebut turut mengimbau kenangan lamanya bersama rakan penyampai seperti Krill, Kiran dan Salih Yaacob.

“Kita jadi DJ radio dulu bukan syok sendiri nak cerita tentang benda yang kita nak, tapi kita kena utamakan pendengar kita.

“Bila dapat tahu tentang Anugerah Jenama Paling Dipercayai Reader’s Digest ni, saya rasa semua titik peluh hasil usaha saya dihargai oleh peminat,” katanya.