Saya sangat sedih dan kecewa – Aina Abdul

June 9, 2020
Wawann Mohd

LEBIH lima tahun berusaha untuk menempatkan diri dalam industri muzik tanah air, penyanyi Aina Abdul mengakui bukan mudah untuknya berada pada tempat di mana dia berdiri hari ini.

Menjulang semangat untuk terus berjaya, pemilik nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani, 27, tidak pernah berputus asa untuk terus membuktikan bakat sehingga namanya kini menjadi sebutan ramai.

Namun di saat mula mengecap populariti dan merencana kerjaya seninya dengan penuh warna-warni, dunia berdepan dengan penularan pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan pelbagai aktiviti seni terhenti seketika.

“Pada awalnya saya sangkakan, Covid-19 hanyalah krisis biasa sahaja, tetapi ia mula melumpuhkan ekonomi dunia dan menjejaskan industri seni keseluruhannya, saya sangat sedih dan kecewa.

“Bayangkan, saya sudah lama menantikan peluang ini dan apabila ia berada di depan mata, halangan lain pula datang.

“Bagaimanapun saya kemudiannya reda dan percaya dengan rezeki yang ALLAH tetapkan. Segalanya bersebab dan pasti ada hikmahnya,” ujar Aina kepada SinarPlus.

Sentiasa positif dengan apa yang diusahakan, kata Aina, dia tidak akan sesekali berputus asa untuk terus berkarya dan menyumbang buat industri seni.

“Insya-ALLAH saya tidak akan berputus asa kerana selama ini pun saya sentiasa positif dengan cabaran dan alhamdulillah ia berjaya diatasi satu-persatu.

“Ramai yang tidak tahu, cabaran untuk rilis lagu Sumpah sebenarnya lebih ‘berat’ daripada apa yang saya dilalui sekarang. Jadi tiada apa yang perlu saya rungutkan, melainkan terus bergerak ke hadapan.

“Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tetap berkarya seperti biasa. Buat lagu, muzik dan susun pelbagai perancangan untuk kerjaya selepas ini,” katanya penuh semangat.

Bukan sahaja mahu berkongsi bakat nyanyiannya di pentas, tetapi bekas peserta program Mentor Legend 2014 yang juga merupakan seorang komposer dan penulis lirik itu mahu tampil dengan karya bermakna.

“Setiap lagu ciptaan saya mempunyai tema dan ceritanya yang tersendiri di mana ada perkongsian yang saya selitkan untuk pendengar berkaitan dengan isu dalam masyarakat.

“Saya mahu karya itu menyumbang sesuatu kepada orang ramai. Ia bukan untuk hiburan semata-mata tetapi ada mesej yang boleh kita sampaikan.
“Itu yang saya lakukan menerusi beberapa lagu ciptaan saya seperti Sumpah, Semalam dan lain-lain,” katanya.

Peminat jadi tulang belakang

Menurut Aina lagi, selepas PKP berakhir, dia bakal melancarkan single terbaharunya yang kini sedang dalam proses akhir pembikinannya.
Meskipun single Semalam baru sahaja menemui peminat awal Mac lalu, penyanyi kelahiran Johor Bahru itu mahu sentiasa tampil dengan karya baharu.

“Disebabkan banyak aktiviti seni ditangguh dan dibatalkan sepanjang PKP ini, saya menggunakan masa itu menghasilkan lagu-lagu baharu.

“Saya mempunyai sebuah studio mini di rumah yang membolehkan saya terus berkarya dan mencari idea-idea baharu untuk diketengahkan, selain bantuan daripada pasukan kecil saya turut mempunyai minat yang sama dalam muzik.

“Pada zaman digital ini semuanya menjadi lebih mudah. Jadi bila PKP tamat, insya-ALLAH ada dua buah lagu baharu yang menanti peminat semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aina mengakui semangat yang ada dalam dirinya banyak disumbangkan oleh peminat setianya yang digelar Aination. Kata Aina, kewujudan kelab peminat tersebut bukan ketika namanya menjadi sebutan ramai, tetapi lebih awal dari itu.

“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai sekumpulan peminat yang sentiasa ada menyokong di waktu sudah dan senang.

“Sebelum lagu Sumpah popular lagi, Aination sudah wujud. Mereka tidak putus-putus bagi sokongan pada saya walaupun pada ketika itu, bakat saya orang tak pandang pun.

“Jadi bila setiap kali saya hampir berputus asa terhadap sesuatu, saya rasa malu pada mereka dan akan cakap pada diri sendiri, saya takkan kecewakan mereka,” akui Aina.

About Wawann Mohd

Biodata Penulis