PENGARAH dan pelakon Sabri Yunus tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang perniagaan kerana tidak mempunyai minat apatah lagi pengalaman dalam bidang itu.

Berbanding seni, kata Sabri, 59, dia tidak ada bakat untuk berniaga biarpun arwah bapanya merupakan seorang peniaga pakaian bundle sekitar tahun 1980an di Kota Bharu, Kelantan.

“Kata-kata yang selalu kita dengar, ‘orang Kelantan suka berniaga’, jelas tidak termasuk saya. Saya tak pernah, tak minat dan tak tahu (berniaga).

“Saya pernah ikut arwah ayah jual baju bundle tahun 1980 di sekitar Kota Bharu, juga Besut. Pakaian yang ayah ambil stok lama di kedai pakaian, supermarket atau emporium di Kota Bharu.

“Ayah dan kawan, Pok Soh Cabang Tiga jual lambak dan lelong. Saya akan ambil bagi percuma secara sembunyi bila ada kawan yang nak. Memang tak reti berniaga,” ujarnya.

Pelakon telefilem Pok Ya Cong Codei itu juga turut mengimbau kenangan menjual keropok secara senyap-senyap ketika masih bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka hampir 40 tahun lalu.

“Masa di DBP, saya pernah bawa keropok seguni naik bas dari Kota Bharu. Sampai pukul 5 pagi, saya terus ke pejabat.

“Saya main letak jer atas meja kawan-kawan. Ada yang saya letak dua bungkus, ada tiga, ada juga lima. Bila semua tengok setiap meja ada keropok, saya diam jer.

“Pukul 10 pagi saya mengaku keropok saya letak dan minta bayaran. Alhamdulillah semua bayar. Itulah kali terakhir saya berniaga. Itu tahun 1980an. Saya tak reti nak berniaga,” imbaunya.

Iklan

Bagaimanapun kata Sabri, dia akhirnya memberanikan diri menceburi bidang perniagaan apabila dipelawa rakannya baru-baru ini untuk menjadi rakan kongsi.

“Bila kawan saya, Dee, tauke  nasi ayam ajak kongsi buat Frozen Mart, saya mulanya tak berani. Saya tak tahu, tak boleh untuk duduk macam tu.

“Saya setuju sebab saya tahu dia boleh dan mampu. Maka hari ini 14 Julai 2020, Dee Frozen Mart, Pandan Indah dah dua hari dibuka.

Iklan

“Alhamdulillah. Saya nak kena belajar dan saya sedar bahawa hidup ini sendiri satu perniagaan.  Saya selama ni pun berniaga juga,” ujarnya menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya semalam.

 

(FOTO: Facebook Sabri Yunus)