BIARPUN menceburi bidang seni sejak lebih enam tahun lalu, pelakon dan pengacara, Sean Lee mengakui baru kini namanya dikenali ramai.

Menurut Sean, dia sentiasa percaya setiap orang mempunyai masa mereka sendiri untuk menyinar. Mengambil contoh dirinya, kata Sean, dia hanya berusaha untuk memberikan yang terbaik dan terburu-buru mengejar populariti.

“Sebenarnya saya sudah lama berlakon, semenjak tahun 2013 lagi. Namun ketika itu nasib belum menyebelahi untuk dikenali.

“Macam-macam juga yang saya buat untuk terus cari peluang baharu termasuk aktif dalam bidang pengacaraan sehinggalah orang nampak bakat saya sejak dua tahun lalu.

“Pada saya, kita tak perlu terlalu mengejar atau mendesak kerana setiap orang ada masa mereka sendiri untuk berada di atas dan begitulah sebaliknya,” ujarnya.

Populariti Sean yang mula berlakon menerusi drama Keluarga Pontimau itu kini menjadi perhatian apabila semakin kerap membintangi barisan drama popular seperti Sweet Dreams, Demi Rindumu dan Jujurlah Nikahi Aku.

Mengakui lebih dikenali menerusi industri seni Melayu, pemilik nama sebenar Lee Jian Ern, 26, tidak mahu tamak dalam merebut tawaran.

“Memang semenjak tahun lalu jadual kerja seni saya agak padat dengan pelbagai tawaran baik dalam lakonan mahu pun pengacaraan.

“Bagaimanapun saya tidak mahu tamak dan terlalu mengejar semua itu sehingga mengabaikan kesihatan diri terutamanya kesihatan mental.

“Kalau sibuk sangat nak buat semua benda sebab nak kejar peluang, akhirnya kita sendiri yang penat dan tak berikan yang terbaik,” katanya.

Bukan hanya lakonan, penampilan Sean menerusi program I Can See Your Voice Malaysia yang digandingkan bersama pelawak Shuk Sahar selama dua musim juga turut memberikan pengaruh tersendiri buatnya.

“Inilah yang dikatakan rezeki. Program ini mempunyai pengaruhnya tersendiri dan ramai orang sukakan konsep yang diketengahkan menjadikan ia sebuah program popular.

Iklan

“Saya kena bagi usaha lebih sedikit untuk memastikan penampilan dalam program ini turut memberi sumbangan.

“Bukan senang nak mengacara dengan seorang pelawak kerana saya bukan pelawak, tetapi Shuk banyak bantu untuk sama-sama buat yang terbaik,” akui Sean.

Seiring dengan populariti yang dikecapi, Sean tidak menafikan menjadi tumpuan ramai peminat wanita yang mendambakan perhatiannya. Malah menurut Sean, dia pernah diekori sehingga ke rumah oleh peminat.

“Saya terharu bila ramai peminat sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya seni saya. Malah setiap kali menonton drama atau program saya, mesti mereka akan DM (direct message) untuk cakap sesuatu.

Iklan

“Bagaimanapun ada juga di antara mereka yang agak ekstrem cuba mendapatkan perhatian. Pernah satu ketika saya diekori peminat ketika mahu pulang ke rumah.

“Mujurlah saya menyedarinya lebih awal dan terpaksa singgah di tempat lain dahulu untuk keselamatan,” ujarnya.

 

[FOTO: Instagram Sean Lee)