“Selagi ada kemudahan Internet dan telefon bimbit, sesiapa saja mampu menjadi YouTuber,” - Datuk Rosyam Nor

“Selagi ada kemudahan Internet dan telefon bimbit, sesiapa saja mampu menjadi YouTuber,” - Datuk Rosyam Nor
July 2, 2020
Oleh Meen

KEHIDUPAN normal baharu ditambah pula situasi sosial dan ekonomi global yang tidak menentu, menyaksikan manusia menjadi semakin kreatif dalam menjana pendapatan melalui pelbagai platform media sosial, seperti Facebook (FB), Instagram dan YouTube.

Tidak dinafikan YouTube antara laman web yang paling popular dan mudah untuk menjana wang kerana sesiapa sahaja dibenarkan untuk memuat naik, menonton, menilai, berkongsi dan memberi komen kepada pelbagai genre kandungan video yang dihasilkan.

Hanya dengan cara menzahirkan bakat dan mempersembahkan kreativiti dalam laman web itu dan kata kuncinya viral atau tular, ia mampu menjana wang atau 'menggemukkan dompet' sesiapa sahaja.

Hakikatnya, tiada peraturan khusus dalam mencipta dan memuat naik kandungan video ke platform media sosial tersebut yang bakal ditonton segenap lapisan masyarakat dari seantero dunia.

Duit dan glamor, ada yang tak nak ke?

Artis & YouTube

Bagi pelakon, penerbit, pengacara dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, peralihan dunia hiburan daripada televisyen ke media sosial seperti Youtube perlu diterima kerana ia mampu menjadi platform terbaik bagi artis dan masyarakat marhean mempersembahkan bakat mereka, sekali gus dapat memastikan mereka memperoleh pendapatan berterusan.

“Kita tidak boleh lari daripada perubahan ini. Bersedia atau tidak, artis Malaysia kena buat (hadapi). Jika tidak, mereka akan ketinggalan malah, ia boleh menjejaskan pendapatan,” katanya.

Rosyam yang juga Penerbit dan Pengarah Urusan syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd mengakui bahawa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), belum ada pengambaraan filem atau drama yang betul-betul dibuat selepas PKP dan ini sudah tentu menjejaskan pendapatan golongan artis.

Tambahnya, dengan situasi semasa dan penularan wabak Covid-19 yang belum berkesudahan serta pelaksanaan pelbagai fasa PKP, ia menuntut golongan artis menterjemahkan kreativiti mereka untuk santapan penonton di YouTube melalui “saluran’’ sendiri.

Iklan

Hanya guna telefon bimbit

“Kalau dulu, artis terpaksa menunggu tawaran dan peluang untuk berlakon dari pihak stesen televisyen, penerbit filem atau drama, tetapi hari ini, jika mereka fikir ada bakat dan idea, mereka berhak membuat program sendiri. Hanya gunakan telefon bimbit,” katanya yang pernah merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 pada 2008.

Anjakan sebegini, menurut Rosyam memberi peluang kepada artis untuk menterjemahkan apa jua kandungan atau program yang sesuai dengan kepandaian, jiwa dan kreativiti mereka.

Selain itu, ia juga dapat mencabar diri sendiri untuk melihat sama ada hasil karya mereka itu mendapat sambutan atau pun tidak.

Apa yang penting, ia tidak melanggar garis panduan yang dikenakan syarikat YouTube yang berpangkalan di San Bruno, California, Amerika Syarikat itu.

Iklan

Membuktikan perkara itu mampu direalisasikan, Rosyam telah menterjemahkan kreativiti beliau ke dalam dunia lakonan dan penerbitan filem dengan menghasilkan filem pendek berjudul Warung Kami yang disiarkan menerusi YouTube pada Ogos 2019.

Warung Kami berdurasi lapan minit itu diinspirasikan daripada perjalanan kisah hidup Rosyam yang berdepan pelbagai dugaan dan realiti kehidupan ketika mula membuka perniagaannya, ST Mart dan digarap dengan kerjasama Pengarah Urusan Sri Ternak Group of Companies, Datuk Raymond Ho.

“Selagi ada kemudahan Internet dan telefon bimbit, sesiapa saja mampu menghasilkan footage dan menyiarkannya di YouTube,” katanya menambah tidak dinafikan hampir setiap minit akan ada kandungan baharu disiarkan dalam Internet.

Justeru, persaingan dalam platform ini amat besar dan mencabar namun pada masa sama, ia mencetuskan daya kreativiti, pengalaman dan persaingan yang hebat, katanya.

Malah, Rosyam turut menjelaskan penggiat seni tidak lagi boleh meletakkan diri mereka sebagai artis apabila memasuki medium YouTube.

“Mereka perlu bersedia hilang untuk 'hak eksklusif’ sebagai artis kerana perlu bersaing dengan orang biasa yang turut mempunyai bakat dan kebolehan.

“Di pentas YouTube, persaingan adalah adil… masing-masing perlu bersaing untuk mendapatkan viewer (penonton). Tiada viewer, tiada pendapatan,” kata Rosyam menambah kelebihan artis kerana mereka sudah pun mempunyai nama dan pengikut sebelum menjadi YouTuber.

BERNAMA

About Meen

Biodata Penulis