Sepang, macam-macam ada

July 12, 2020
Farah Eliani

DAERAH Sepang, Selangor sememangnya sinonim dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Litar Antarabangsa Sepang. Namun di sebalik semua itu, tidak ramai tahu terdapat banyak destinasi menarik yang ‘tersembunyi’ di sana.

Dengan mempunyai lokaliti kira-kira 190,000 penduduk, Sepang juga merupakan singgahan terbaik untuk membeli-belah apabila Mitsui Premium Outlet menawarkan harga yang berbaloi untuk kasut, pakaian, jam, minyak wangi mahupun barangan bayi daripada jenama-jenama mewah.

Bila diamati, rasanya tidak rugi memilih daerah itu untuk berjalan-jalan bersama keluarga memandangkan terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama.

Menariknya, dalam sehari, kita boleh meneroka banyak lokasi sekali gus membawa deretan pengalaman yang menyeronokkan.

Berikut cadangan jadual perjalanan yang boleh dijadikan panduan:

8 pagi: Keluarkan peluh di Taman Tasik Cyberjaya

Apa kata, kita mulakan hari dengan melakukan aktiviti yang menyihatkan di Taman Tasik Cyberjaya yang serba kehijauan.

Tidak perlu memaksa diri untuk berlari, cukuplah sekadar berjalan-jalan mengelilingi tasik sambil menghirup udara yang nyaman.

Jika bercadang untuk mengeluarkan lebih peluh, trek larian di sana tidak kurang hebatnya. Pada hujung minggu, jumlah pengunjung sekali ganda, namun ia tidak merimaskan. Jangan risau!

Alamat/Waze: Taman Tasik Cyberjaya, Cyberjaya.

9 pagi: Nasi lemak terbaik di Restoran Adik Abang

Selepas bersenam, tambahkan tenaga dengan bersarapan di lokasi kegemaran ramai iaitu di Restoran Adik Abang.

Seperti yang diketahui umum, pelbagai makanan cita rasa Malaysia disediakan Antara yang popular pastinya lontong, nasi lemak dan roti canai.

Jika datang terlalu lewat, mungkin pengunjung akan berputih mata menikmati makanan yang lazat di situ.

Alamat/Waze: Medan 23, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

10 pagi: Merasai ‘gegaran’ di Litar Antarabangsa Sepang

Jika sebelum ini, kita hanya mampu melihat litar berkenaan di kaca televisyen, kini tidak lagi.

Dengan membayar tiket, pengunjung akan dibawa menjelajah ke seluruh kawasan litar untuk mengetahui lebih mendalam mengenai industri sukan permotoran.

Selain berpeluang menjelajah ke Grandstand, para pengunjung akan dibawa melawat kawasan Race Control Room dan Perdana Suite termasuk Muzium Automobile.

Alamat/Waze: Litar Antarabangsa Sepang

12 tengah hari: Mengisi perut di Restoran Nasi Padang Minang Batang Kapeh

Restoran Nasi Padang Minang Batang Kapeh memang terkenal dalam kalangan penduduk Sepang.

Bermula jam 11.30 pagi, orang ramai sudah bersesak-sesak di restoran berkenaan untuk menikmati masakan kampung.

Sudah pasti yang paling dicari ialah ikan keli bakar dan ulam-ulaman. Harganya juga agak berpatutan.

Alamat/Waze:  Jalan Besar, Kampung Salak Tinggi, Sepang.

1 tengah hari: Terokai paya bakau

Kepada pencinta alam semula jadi, meneroka paya bakau merupakan  aktiviti yang sangat dinantikan.

Masakan tidak, Pakej Mangrove Tour yang ditawarkan akan membawa pengunjung belayar ke kawasan hutan yang penuh dengan pemandangan indah dan bunyi burung eksotik di sekitarnya.

Jika bernasib baik, kita boleh melihat kelibat kera berkeliaran mencari makan atau ketam yang sedang berjalan-jalan atas lumpur.Alamat/Waze: Jalan Pantai Bagan Lalang, Kampung Bagan Lalang, Sungai Pelek.

2.30 petang: Makan Roti King Kong di Ladang Buah Naga

Jom meninjau sendiri Ladang Buah Naga yang cukup mengujakan.

Jangan lupa membeli air buah naga asli yang dijual di kafe berhampiran.

Jika membaca komen melalui laman sosial, ramai yang mencadangkan agar pelancong menikmati keenakan kentang tumbuk dan Roti King Kong yang disajikan dengan kuah buah naga dan jus buah naga yang diperah segar.

Alamat/Waze: Pekan Sepang, Sepang.

3.30 petang: Berbelanja jenama mewah di Mitsui Outlet Park

Selepas lebih kurang sejam berada di ladang, inilah masa sesuai untuk berbelanja di Mitsui Outlet.

Sekiranya mahu mendapatkan kasut jenama Converse pada harga kurang RM100, di sinilah lokasi terbaik. Begitu juga dengan minyak wangi, pinggan mangkuk jenama Noritake termasuk kemeja jenama Ralph Lauren.

Alamat/Waze: Persiaran Komersial, KLIA, Sepang.

5 petang: Nikmati secangkir kopi di Kafe Book Barter

Jika mempunyai masa terluang untuk minum petang, Kafe Book Barter yang terletak di Tamarind Square boleh dipertimbangkan.

Ruang dalaman kafe yang berkonsep kedai buku menjadi faktor ramai orang suka menghabiskan masa di sana.

Pencuci mulut dan pelbagai aneka kopi yang lazat juga boleh dipesan sementara menunggu makan malam.

Alamat/Waze: GP 1-03, Pinnacles North Court Tamarind Square, Cyberjaya

6 petang: Suntik mood ceria di Tamarind Square

Pengunjung boleh menyertai beberapa aktiviti mingguan di sana. Antaranya aktiviti zumba, yoga dan aktiviti piloxing.

Bertambah menarik, terdapat pasar malam berkonsepkan urban diadakan pada hari Rabu minggu kedua dan keempat setiap bulan.

Bukan itu sahaja, majlis hiburan yang dipanggil Lepaq yang diadakan pada Sabtu minggu terakhir juga menarik untuk diisi dalam direktori riadah.

Alamat/Waze: Persiaran Multimedia, Cyber 10, Cyberjaya.

7 malam: Isi perut di Restoran Terapung HM Sri Bagan Lalang

Sebagai penutup, habiskan masa dengan makan malam sambil menikmati bayu laut di Restoran Terapung HM Sri Bagan Lalang.

Pelbagai menu boleh dipilih, daripada ala carte hingga hidangan pakej yang disyorkan seperti set ikan tilapia bakar, ikan siakap stim dan sambal udang petai.

Untuk informasi lanjut, layari www.selangor.travel

Alamat/Waze: Bagan Lalang, Tanjong Sepat.

 

Gratitude yummi.club

About Farah Eliani

Biodata Penulis