BERAYA dalam suasana normal baharu susulan kawalan pergerakan akibat Covid-19 barangkali tidak pernah terlintas dalam fikiran sesiapa pun.

Begitulah juga yang dirasai oleh penyanyi Shiha Zikir.

Mengakui rindu untuk berjumpa dengan sanak saudara dan rakan taulan, lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini, Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir bagaimanapun enggan  mementingkan diri kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Saya bukan sekadar memikirkan jangkitan daripada tetamu, tapi lebih bimbang seandainya saya yang membawa jangkitan itu tanpa sedar dan akhirnya menyusahkan orang lain.

“Walaupun rindu untuk berjumpa lebih-lebih lagi pada Hari Raya Aidilfitri, namun saya akur kepada arahan kerajaan kerana penting untuk kita memutuskan rantaian Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Shiha, dia juga memilih untuk berhari raya secara sederhana dan tidak membuat apa-apa persiapan termasuk membeli baju raya.

“Bukan nak kata sambutan sebelum ini berlebihan, tapi buat jugalah kuih raya, tukar langsir, beli baju. Tapi tahun ini tak ada, cuma saya dan mak ada memasak sedikit juadah untuk hari raya pertama,” katanya.

Shiha Zikir
Shiha sentiasa positif mengharungi normal baharu sejak PKP dilaksanakan.

Sementara itu, Shiha, 33, yang juga Duta Ramadan Syawal Astro berkata, ada hikmah di sebalik dugaan wabak Covid-19 biarpun pendapatannya terjejas.

Moh Beraya

Katanya, selain rindukan keluarga dan rakan, dia juga rindu untuk menghiburkan peminat seperti selalu.

“Bagi saya, menyanyi bukan sekadar naik dan turun dari pentas. Sebaliknya bila kita dapat berinteraksi, menghiburkan tetamu dan peminat, itu juga satu kepuasan.

“Rindu sebenarnya nak buat persembahan, tapi tak apalah. Saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya berharap orang lain juga merasakan perkara yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, Shiha berkata, sempena Aidilfitri yang mulia ini, dia telah melancarkan lagu raya berjudul Moh Beraya.

Iklan

Menariknya, lagu tersebut turut dinyanyikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Setiausaha Politik beliau, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Bukan itu sahaja, impian Shiha untuk berduet dengan penyanyi Datuk Jamal Abdillah turut menjadi kenyataan.

“Lagu ini secara asasnya menceritakan keistimewaan negeri Perak atas usaha positif  Menteri Besar sendiri.

“Walaupun ia menggambarkan tentang negeri Perak, tapi satu Malaysia boleh dengar. Saya bangga dapat menyanyikan lagu ini biarpun saya bukan orang Perak.

Iklan

“Namun, disebabkan selalu membuat persembahan di sana, saya tahu apa yang menarik di negeri itu,” katanya.

Shiha berkata, muzik video Moh Beraya juga adalah idea daripada Ahmad Faizal sendiri setelah penggambaran tidak dapat dilakukan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu, tambah Shiha, dia juga akan melancarkan single terbaharu tidak lama lagi dan akan tampil dengan genre lagu yang berbeza daripada kebiasaannya.