MESKIPUN beraya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelakon Johan As’ari tetap bersyukur dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta di Subang Jaya, Selangor.

Kata Johan, dalam kesederhaan menyambut hari mulia itu, kemeriahan tetap dirasa apabila semua ahli keluarga dapat berkumpul dan bersama-sama menikmati juadah raya yang menjadi tradisi mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah, walaupun beraya dalam suasana PKPB, sambutan Aidilfitri kami sekeluarga tetap meriah.

“Disebabkan adik-beradik menetap di kawasan yang berdekatan, tiada masalah untuk kami sambut raya bersama-sama sebagaimana kebiasaan.

“Cuma apa yang berbeza kali ini, kami tidak menziarahi sanak-saudara dan mereka juga tidak datang berkunjung ke rumah kerana masing-masing sedia maklum dengan arahan kerajaan dan cuba sebaik mungkin mematuhi SOP yang ditetapkan,” jelas Johan.

Tambah anak kedua daripada empat beradik ini lagi, dia cukup gembira apabila keluarga saling membantu menyiapkan juadah raya untuk memastikan semuanya sempurna.

“Walaupun juadah raya kini boleh dibeli sahaja secara online, namun kami sekeluarga lebih suka memasak sendiri bersama-sama untuk memeriahkan suasana dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Sehari sebelum raya ayah dan siap cari batang buluh untuk buat lemang, sementara umi pula sibuk dengan persiapaan buat ketupat, rendang dan macam-macam lagi.

“Siapa kata raya PKPB tak meriah? Apa yang penting kita bersyukur kerana masih berpeluang meraikan Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Di Atas Sayap-Sayap Malaikat itu, mengakui tidak dapat menyembunyikan kerinduan pada arwah ibunya, Datin Firdaus Abdul Kader yang meninggal dunia lebih lima tahun lalu.

“Setiap kali raya, memang saya akan terkenangkan arwah ibu. Malah Aidilfitri pertama tanpa ibu pada tahun 2016 menjadi raya yang paling sedih untuk kami sekeluarga ketika itu.

“Sedih tidak dapat lagi mencium tangan ibu memohon ampun seperti mana kebiasaan di pagi Syawal.

“Rutin arwah ibu menyiapkan segala keperluan raya kami pada malam raya juga sering terbayang dalam ingatan,” katanya yang menyifatkan kenangan tersebut sebagai yang terindah dalam hidupnya.

Menyentuh tentang perkembangan kerjaya seninya, Johan mengharapkan agar pandemik Covid-19 segera berakhir agar masing-masing dapat meneruskan urusan perkerjaan seperti biasa.

“Ramai yang terjejas ketika PKP ini termasuklah penggiat seni. Ada yang sudah beberapa bulan kehilangan pendapatan dan terpaksa mencari ikhtiar lain untuk menyara keluarga.

“Sebagai pelakon saya juga melalui perkara yang sama apabila penggambaran tidak dapat dijalankan dan perniagaan agensi umrah yang saya usahakan bersama rakan juga tidak dapat diteruskan.

“Apa pun kita doa sama-sama agar semua ini segera berakhir dan masing-masing dapat kembali bekerja,” katanya.

 

(FOTO: Ihsan Johan As’ari)