EKORAN situasi semasa pandemik Covid-19 di Malaysia, pihak Astro Prima mengambil keputusan untuk menunda siaran langsung program bual bicara khusus buat golongan wanita, Mingguan Wanita (MW).

Penundaan itu dibuat sementara waktu bermula hari ini, 2 April 2020 sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Musim ketiga MW dikendalikan Norman Hakim, Naufal Hatta, Erra Fazira, Raja Azura dan Nurul Shuhada, disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 12 tengah hari secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125).

Ini merupakan sebahagian daripada usaha proaktif dan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh pihak Astro untuk mengekang penyebaran wabak tersebut sekaligus memastikan keselamatan kesemua pihak yang terlibat dalam penerbitan program terutamanya barisan pekerja, kru produksi serta selebriti terus diutamakan.

Bagi mengisi kekosongan slot kandungan tersebut, Astro Prima bakal menyiarkan program istimewa KonserThrowback untuk menggantikan MW pada hari dan waktu yang sama bermula 6 April.

Slot tersebut bakal membawakan kembali konsert hiburan terbitan Astro yang berkonsepkan pertandingan realiti  seperti Gegar Vaganza, Duo Star dan Dangdut Star.  Untuk pilihan yang lebih fleksibel, program ini jugak boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan on demand.

Iklan

Pengumuman terkini mengenai penerbitan program Mingguan Wanita Live untuk masa hadapan akan dimaklumkan apabila situasi getir kemelut pandemik Covid-19 pada ketika ini kembali reda.

Iklan