SELEPAS muncul berkolaboratif penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu 7 Nasihat, populariti komposer dan rapper muda, Luca Sickta mula dikenali ramai.

Gandingannya bersama Kmy Kmo, yang juga merupakan komposer dan penulis lirik lagu tersebut turut menjadikan melonjakkan nama duo ini.

Terbaru, Luca atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin terus membuka potensi dirinya menerusi single duet terbaharu berjudul Yang Itu Yang Ini, bersama seorang rapper wanita bernama Heidi.

Mengulas tentang lagu tersebut, Luca berkata, lagu bergenre hip hop dengan sedikit sentuhan pop itu menceritakan bagaimana karektor seseorang yang tidak mempunyai pendirian sendiri.

Lagu Yang Ini Yang Itu adalah mengenai seorang yang bersikap ‘lalang’ atau dalam erti kata lain, tidak ada pendirian tetap terhadap sesuatu yang dilakukan.

“Memandangkan lagu ini merupakan duet dengan Heidi, jadi saya membawakan ‘lalang’ dari perspektif lelaki dan Heidi pula sebaliknya,” katanya yang turut menulis lirik lagu berkenaan bersama Heidi.

Dalam pada itu, Luca turut mendedahkan, lagu itu adalah berdasarkan pengalaman hidup yang dilalui, sepanjang mengenali pelbagai jenis dan ragam manusia.

“Saya sudah kenal pelbagai ragam orang. Daripada sikap mereka itu saya menjadikan lagu.

“Tujuannya supaya ia dapat dijadikan pengajaran kepada semua kerana dalam masa yang sama, mungkin cerita dalam lagu ini pernah dilalui orang lain.

“Secara peribadi orang sebegini merimaskan, cuma kalau tidak ada orang seperti mereka ini kita tidak akan dapat belajar sesuatu daripada sikap sebegitu,” katanya.

Mengenai pemilihan Heidi, Luca menyifatkan penyanyi lagu Ily itu mempunyai karektor tersendiri dalam rap sekali gus memberi warna baharu dalam muzik dan lagu yang dipersembahkan.

“Heidi mempunyai karakter yang kuat dalam rap. Stail dan gaya dia berbeza dengan rapper wanita lain.

“Apabila kami bekerjasama dalam lagu ini, saya boleh dengar karakteristik yang dia miliki,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Luca berkongsi perancangannya bersama Kmy Kmo untuk menghasilkan album sulung.

Iklan

“Selepas ini ada lagi projek dengan Kmy sehinggalah terbitnya album. Malah ini adalah perancangan kami sekarang. Kalau sampai rezeki dan masa yang tepat, mungkin tahun depan.

“Insya-ALLAH single terbaharu kami bersama seorang lagi penyanyi, dijangka keluar hujung tahun ini.

“Kami masih masih lagi dalam proses ‘meminang’ penyanyi berkenaan. Saya tak boleh sebutkan lagi siapa, tapi dia adalah lagenda.

“Lagu semua dah ada, tunggu dia kata OK dan kami akan terus rakam,” katanya.

Lagu Yang Ini Yang Itu terbitan dan edaran Universal Music Malaysia itu dilancarkan serentak dengan muzik video rasmi di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada 10 Julai lalu.

Iklan

Single tersebut juga kini sudah boleh distrim di semua platform digital muzik seperti Joox, iTunes, Spotify dan lain-lain.

 

(FOTO: Unversal Music)