Sofea Fea ganti Anim Izzati di 999      

SOFEA DAN ANIM
April 7, 2020
Aqmar Mustaza

BERMULA hari ini program jenayah nombor satu negara bakal tampil dengan wajah baharu apabila wartawan Segmen Viral, Sofea Nur Solehha Tun bakal menggantikan Anim Ezati Rizki.

Mengekalkan kandungan 999 yang tersedia ada, program ini akan tetap merungkai kes-kes jenayah bersama pihak berkuasa secara eksklusif dalam memberikan pengalaman menyeluruh kepada penonton pada setiap hari Selasa, jam 9 malam.

Berkongsi perasaannya dipilih sebagai wajah baharu untuk 999, Sofea yang sebelum ini mengendalikan segmen Viral dalam program tersebut mengakui berasa teruja dan berdebar untuk menggalas tanggungjawab baharu.

“Saya lihat ia sebagai satu tanggungjawab besar, apatah lagi Anim cukup cemerlang mengendalikan program 999 selama empat tahun sebelum ini.

“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir untuk menjadi wartawan program besar seperti ini, jauh sekali untuk menjadi pengacara. Banyak lagi yang perlu saya pelajari dan saya akan cuba buat yang terbaik.

“Bagi saya tugas sebagai pengacara 999 bukan untuk glamor tetapi besar cabaran kerana saya juga perlu turun ke lapangan untuk membuat liputan,” katanya dalam satu temu bual menerusi sidang video baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anim yang turut menyertai sesi temu bual menerusi sidang video itu memberitahu dia terpaksa berundur sebagai pengacara 999 kerana keadaan dirinya yang sedang berbadan dua.

Katanya, dia berasa tidak adil seandainya gagal memberi komitmen sepenuhnya dan mengakui keputusan untuk meninggalkan 999 sebagai satu keputusan yang cukup berat.

“Seperti yang Sofea katakan, jadi pengacara 999 ini bukan sekadar penyampaian depan kamera atau glamor, sebaliknya perlu turun buat liputan, ikut operasi. Dalam keadaan diri saya sekarang, agak sukar memberi komitmen seperti itu.

“Hampir empat tahun bersama 999 dan program ini telah mengajar saya banyak perkara, khususnya dalam menyesuakan diri di lokasi yang berbahaya. Kerana ini merupakan program jenayah, saya sendiri sebenarnya sentiasa terdedah dengan bahaya dan pelbagai jenis cabaran lain. Antaranya adalah saya sebagai gadis bandar ini perlu menjadi lasak untuk masuk ke hutan, berhujan, berpanas dan sebagainya.

“Namun begitu, mengendalikan 999 telah memberikan pengalaman yang amat berharga buat saya, sehingga saya telah pun menganggap kru produksi 999 sebagai keluarga kedua saya.

“Saya doakan Sofea berjaya mengendalikan program ini dengan sukses dan saya akan muncul dalam program lain di TV3,” katanya yang sentiasa berkongsi pendapat dan pandangan bersama Sofea.

 

About Aqmar Mustaza