MESKI ramai yang mengeluh saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan seminggu yang lalu bermula pada 18 sehingga Mac dan kemudiannya dilanjutkan sehingga 14 April depan, penyanyi dan pelakon, Dr. Soo Wincci pula menerimanya dengan hati terbuka.

Lebih dua tahun berkelana di Sepanyol untuk menimba ilmu dan pengalaman, Wincci, 35, meluahkan rasa syukur dapat bersama keluarga pada saat-saat getir begini.

Malah dia yang kini sedang melanjutkan pengajian PhD keduanya dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic, Sepanyol itu mengakui bernasib baik selamat pulang ke tanah air sebelum negara tersebut terjejas teruk akibat penularan wabak Koronavirus (Covid-19).

“Meskipun perlu melalui tempoh PKP sehingga 14 April depan, jujurnya saya benar-benar bersyukur kerana sempat pulang ke tanah air dan bersama keluarga pada saat sukar begini.

“Tak dapat bayangkan bagaimana keadaannya jika saya masih berada di Sepanyol seorang diri di saat negara tersebut dilaporkan mengalami kelumpuhan teruk akibat Covid-19,” ujar Wincci kepada Sinar Plus.

Penyanyi yang dikenali menerusi lagu Terus-Teranglah itu berkata, dia pulang ke tanah air pada 24 Februari lalu tanpa dirancang untuk memenuhi undangan mengadakan ceramah dan persembahan di Sarawak.

Namun beberapa hari selepas itu, dia mendapat cuti rehat selama dua minggu kerana terkena chicken pox dan terpaksa menangguhkan perjalanannya kembali ke Sepanyol kerana perlu menyelesaikan beberapa kerja yang tertunda di tanah air.

“Selepas seminggu berada di Kuala Lumpur, saya menerima banyak mesej daripada rakan-rakan di Sepanyol yang memberitahu keadaan huru hara di sana akibat Covid-19 dan menasihati agar saya tidak kembali dalam masa terdekat.

“Saya tergamam dan tidak menyangka keadaan berubah dengan begitu drastik sekali kerana sebelum kepulangan saya, keadaan di sana sangat tenang.

“Malah masyarakat di sana juga tidak begitu mengambil kisah tentang wabak ini kerana beranggapan ia hanya melanda negara-negara Asia dan tidak akan sampai ke Eropah.

“Mujurlah Tuhan menyelamatkan saya dengan menangguhkan perjalanan ke Sepanyol disebabkan chicken pox. Kalau tidak, mungkin saya sedang terperangkap di sana,” luahnya.

Wincci lakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga ketika tempoh PKP.

Hargai masa bersama keluarga

Berkongsi aktivitinya di rumah sepanjang tempoh PKP, kata Wincci, dia menggunakan kesempatan tersebut untuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Selama dua tahun saya berjauhan dengan keluarga. Jadi bila ada kesempatan begini, saya tak dapat meluahkan kegembiraan ini dengan kata-kata.

Iklan

“Tempoh PKP ini benar-benar memberikan situasi yang lain pada saya dan keluarga. Kami dapat mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan yang sebelum ini terjarak kerana kesibukan masing-masing.

“Kini semua aktiviti dilakukan bersama-sama. Kalau ibu memasak, semua orang akan ikut berada di dapur sekali untuk membantu. Ia benar-benar mengingatkan saya kenangan ketika kecil dulu,” katanya.

Selain itu, Wincci juga sibuk aktiviti berkaitan pengajiannya, selain persediaan untuk membuat comeback dalam kerjaya seni.

“Walaupun universiti tutup, tapi saya tetap belajar dengan membuat kajian secara online dan lain-lain.

“Selain itu, saya juga sempat mencipta beberapa lagu baharu dan proposal untuk projek berkaitan kerjaya seni akan datang.

Iklan

“Dulu jadual pengajian agak ketat tetapi kini lebih santai sekali gus beri peluang pada saya untuk kembali aktif,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Wincci sempat menitipkan pesan agar orang ramai tidak panik dengan PKP untuk kebaikan bersama.

“Kalau ikutkan panik, memang semua orang panik kerana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita.

“Bagaimanapun, kita patut bersatu hati dan menghadapi waktu mencabar ini bersama-sama. Patuhilah arahan yang dikeluarkan agar kita dapat membendung penularan Covid-19,” pinta Wincci.