STATUS orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan ternyata tidak pernah menghalang Azmi Saat, 33, yang juga merupakan vokalis kumpulan Caliph Buskers untuk mengejar impiannya.

Siapa sangka, daripada hanya bergelar pemuzik jalanan, Azmi kini mampu membina nama dan beraksi di pentas berprestij.

Bicara Seni pada minggu ini berkongsi perjalanan seni Azmi sepanjang lima tahun memperdagangkan bakat dalam industri muzik perdana.

Sinar Plus: Sebagai artis yang memegang status OKU, bagaimana anda menghadapi persaingan terbuka daripada rakan-rakan artis lain?

Azmi: Pertamanya, saya sering melihat kekurangan saya sebagai satu kelebihan. Untuk berjaya sebagaimana artis-artis normal lain, saya kena berusaha lebih berbanding mereka.

Menggunakan bakat dengan sebaiknya dan mendahului kualiti dalam apa pun yang dilakukan agar kepercayaan yang orang beri tidak disia-siakan.

Alhamdulillah dengan prinsip itu, sepanjang lima tahun bergiat aktif dalam dunia muzik perdana, saya dapat cari makan dan membina nama sebagaimana rakan-rakan lain.

Apakah cabaran yang sering dihadapi?

Kalau dulu saya hanya menyanyi di tepi jalan atau buat persembahan melibatkan kelompok penonton yang kecil, tetapi sekarang berbeza. Jadi cabarannya apabila kena menguasai banyak benda baharu dalam keadaan keterbatasan diri.

Apa pun setakat ini semuanya baik-baik sahaja. Ramai rakan dalam industri suka membantu. Jadi saya tak ada masalah besar pun sepanjang bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Pernah tak berdepan dengan perasaan rendah diri dengan status OKU yang dimiliki sepanjang bergelar artis?

Pada awal-awal dulu, pernah ada perasaan macam itu. Terutamanya ketika memasuki pertandingan dan persembahan penting. Bila tengok penyanyi lain boleh buat macam-macam, saya rasa rendah diri sebab tak mampu nak buat benda yang sama. Tapi lama-kelamaan bila orang menerima bakat saya seadanya, saya dah tak kisah.

Apa yang buat saya gembira, orang dalam industri tak pernah pandang rendah pada saya walaupun berstatus OKU. Pada saya, mereka bagi peluang sama rata kepada semua orang.

Adakah penglibatan anda dalam industri muzik perdana turut memberi laluan kepada rakan-rakan OKU lain mengembangkan bakat mereka?

Iklan

Alhamdulillah, sekarang orang ramai mula menilai bakat kami dengan cara yang sepatutnya dan tidak lagi memandang rendah. Paling seronok bila tengok semakin ramai orang buat persembahan busking di jalanan.

Sementara pemuzik dan penyanyi OKU mula mendapat jemputan mengadakan persembahan pada majlis-majlis besar. Akhirnya ia dapat membuka pandangan masyarakat terhadap golongan seperti kami.

Sepanjang lima tahun dalam industri, apakah pencapaian yang amat bermakna pada diri anda?

Berjaya masuk industri muzik perdana itu adalah pencapaian paling bermakna buat saya, selain meraih kejayaan dalam Anugerah Juara lagu dan beberapa majlis anugerah lain.

Namun yang paling memberi kesan, semestinya perubahan hidup saya yang kini jauh lebih baik daripada dulu. Saya berjaya membeli rumah sendiri untuk keluarga kecil saya. Insya-ALLAH dalam masa yang sama sedang mengumpul barang-barang muzik untuk keperluan studio milik saya sendiri nanti.

Iklan

Kalau tak berada di sini hari ini, mungkin impian saya nak buka studio itu takkan terlaksana kerana bukan senang nak kumpul duit, apatah lagi kosnya mencecah puluhan ribu ringgit.

Pesanan anda kepada rakan-rakan OKU yang ingin mengejar impian?

Apa pun bidang yang kita ceburi, lakukan dengan bersungguh-sungguh. Cubalah buat sebagus yang kita mampu. Jangan buat asal boleh saja. Kalau nak berjaya, kita sebagai OKU, usahanya kena berlipat kali ganda daripada orang normal.

Dalam masa yang sama, tak boleh nak manja sangat dan kena berdikari. Kalau tak, orang susah nak bagi peluang sebab mereka mungkin rasa kita menyusahkan.