BIARPUN penghasilan album penuh tidak lagi menjadi keutamaan pada era digital ini, penyanyi Ariff Bahran tetap memasang impian untuk tampil dengan sekurang-kurangnya satu album penuh.

Bahran yang mula dikenali menerusi lagu Kata Akhirmu itu berkata, sebagai penyanyi, dia merasa tidak lengkap tanpa memiliki album penuh yang memuatkan lagu-lagu nyanyiannya.

“Walaupun pada era sekarang, album penuh sudah jarang dihasilkan, saya mempunyai pandangan sendiri dan tetap berhasrat untuk menghasilkan album.

“Saya sebagai penyanyi rasa tidak lengkap jika tidak mempunyai sebarang album.

“Jadi saya akan terus berusaha untuk menjadikan impian itu satu kenyataan, insya-ALLAH pada tahun depan,” ujarnya penuh semangat.

Dalam kesibukannya mencari material terbaik untuk pembikinan album tersebut, pemilik nama penuh Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 22, terlebih dahulu tampil dengan single baharu berjudul Usah.

Lagu hasil ciptaannya bersama penyanyi Sufian Suhaimi itu tampil dengan sedikit kelainan menerusi lagu rancak dari genre R&B Hip Hop.

“Sebelum ini saya lebih dikenali dengan lagu-lagu berentak balada, jadi kali ini saya mahu memberi kelainan dengan memperdengarkan sesuatu yang berbeza.

“Kerjasama bersama Sufian ini juga berlaku secara tidak sengaja ketika kami santai bermain gitar dan kemudiannya dapat ilham buat melodi lagu Usah.

“Sebenarnya lagu ini dihasilkan pada tahun lalu, cuma proses rakamannya dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan baru-baru ini,” kongsi Bahran.

Dalam masa yang sama, bintang Big Stage musim pertama itu juga mengakui kini semakin aktif mencipta lagu.

“Kalau ikutkan sebelum ini saya dah buat banyak lagu juga, cuma ia tidak dirakamkan kerana masih belum yakin sepenuhnya.

“Bagaimanapun sebelum PKP baru-baru ini saya memberanikan diri untuk ketengahkan dua buah lagu ciptaan saya iaitu 3 Kucing dan Usah.

Iklan

“Single 3 Kucing merupakan kolaborasi saya bersama Yonnyboii dan Adam E, manakala Usah pula untuk single solo pertama saya dalam genre rancak.

“Saya harap selepas ini dapat menghasilkan lebih banyak lagu dan mencuba pelbagai genre untuk melihat sejauh mana potensi diri,” akuinya.

Bahran yang membina kerjaya nyanyiannya menerusi label Rusa Music itu bagaimanapun menafikan menggunakan gimik untuk mencipta nama dan melariskan single nyanyiannya.

Daripada gosip bersama rakan seangkatannya dalam program Big Stage, Sarah Suhairi, sehinggalah kisah putus cintanya dengan seorang gadis baru-baru ini, kata Bahran, ia berlaku di luar kawalannya.

Iklan

“Saya tak pernah terfikir nak buat gimik untuk lariskan single atau naikkan nama dalam industri.

“Apa yang berlaku itu bukanlah dirancang, tetapi jika orang melihat sebaliknya, saya pun tak boleh nak buat apa,” tegasnya.

 

(FOTO: Rusa Music)