Tak semestinya buat lagu Melayu untuk pasaran lokal saja – Njwa

June 21, 2020
Wawann Mohd

MEMPUNYAI misi tersendiri dalam bidang muzik, Najwa Mahiaddin atau kini mahu dikenali sebagai Njwa sentiasa memastikan karya yang ditampilkan mampu memberi kepuasan kepada diri dan pendengar.

Malah sejak awal pembabitannya sebagai penyanyi, Njwa tampil dengan cara tersendiri dalam membawakan genre muzik jazz dan R&B yang menjadi identiti muziknya.

Ramai yang menyangkakan penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Got To Go itu memperlahankan kerjaya seninya kerana lama tidak tampil dengan single baharu, selain jarang tampil di acara-acara hiburan.

“Saya masih lagi aktif seperti biasa dan tidak pernah berehat dalam bidang muzik. Cuma dalam beberapa tahun lepas, saya begitu fokus untuk membawakan muzik saya ke luar negara dan banyak membuat persembahan di festival luar seperti di Jepun, Thailand, Singapura dan lain-lain.

“Jadi mungkin disebabkan itu orang jarang nampak saya hingga saya tampil dengan kempen #coverlagurayaTV3 baru-baru ini. Alhamdulillah projek tersebut mendapat sambutan baik dan ramai yang suka dengan berkongsi video cover itu di media sosial,” ujarnya kepada SinarPlus.

Berkongsi perancangan kerjaya seninya selepas ini, Njwa berkata, dia kini dalam proses menyiapkan single baharu yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

“Sebelum ini saya dalam proses untuk buat album baharu, tetapi disebabkan PKP kerja tersebut terhenti seketika. Jadi perancangan album itu mungkin akan ditangguhkan ke tahun depan.

“Buat masa ini saya akan tampil dengan single terlebih dahulu, di mana dalam simpanan saya sendiri ada beberapa lagu yang telah siap dirakamkan,” ujar Njwa.

Tambah bekas graduan Berklee College of Music, Boston di Amerika Syarikat ini lagi, dia tidak hanya mahu memfokuskan kepada kepada pasaran tempatan semata-mata tetapi juga mempunyai misi besar untuk membawa muziknya ke peringkat antarabangsa.

“Saya banyak tulis lagu Inggeris, tetapi dalam masa yang sama saya juga mempunyai koleksi lirik lagu Melayu yang dihasilkan tanpa dirancang.

“Bagi saya, tak semestinya buat lagu Inggeris untuk pasaran antarabangsa dan lagu Melayu untuk fokus tempatan sahaja. Kita sepatutnya bangga dengan bahasa kita dan hasilkan karya yang boleh dipasarkan dalam dan luar negara.

“Saya harap kita dapat mendidik generasi muda untuk mendengar lagu yang ada elemen muzik kita dengan berikan kelainan. Misalnya beri sentuhan moden untuk lagu-lagu tradisional dan sebagainya.

“Dua tahun lepas saya ada merakamkan lagu dengan muzik gamelan yang dimodenkan bersama seorang penerbit dari Jerman dan hasilnya sangat membanggakan,” katanya.

Dalam pada itu, anak kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga memberitahu kerjaya seninya sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga.

“Selalunya apa-apa projek seni yang saya buat akan dikongsi dalam aplikasi grup perbualan bersama keluarga.

“Mereka mengikuti perkembangan dan sentiasa memberikan sokongan pada saya,” katanya turut tampil dengan lagu-lagu tradisional yang dimodenkan.

Gratitude yummi.club

About Wawann Mohd

Biodata Penulis