MAMPU memecut dengan kelajuan maksimum 245 kilometer/perjam, model keluaran terbaharu Mercedes-Benz Malaysia, C200 Coupe AMG Line ternyata lebih berkuasa dengan inovasi enjin turbo 2.0 liter empat silinder baharu.

Dalam satu kenyataan Mercedes-Benz Malaysia, transmisi automatik 9G-Tronic tersebut membolehkan sedan dinamik itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.2 saat sahaja dengan kuasa tork lebih tinggi iaitu 300 Nm. Canggih beb!

Tidak ketinggalan, ia menampilkan jentera terbaharu yang lebih efisien dengan kit AMG Line merangkumi bampar hadapan dan belakang, kemasan berlian pada jeriji radiator serta rim AMG berukuran 18 inci.

merc-coupe

Untuk reka bentuk ruang dalaman pula, tempat duduk tampak elegan dengan balutan upholsteri kulit Artico, manakala stereng sport pelbagai fungsi diperkemas dengan kulit Nappa.

Paddle shifter, pedal sport AMG dan karpet AMG juga menjadi pelengkap reka bentuk dalaman.

Barangkali ciri paling canggih setakat ini, Mercedes Me Connect yang berupaya membuatkan pemilik membuka kunci pintu, memeriksa tahap minyak dan menghidupkan enjin secara kawalan jauh melalui aplikasi telefon pintar.

merc-coupe

Ciri cukup sofistikated itu mampu menawarkan perkhidmatan panggilan kecemasan (e-call), diagnostik kenderaan, kawalan suhu pra-kemasukan dan navigasi prediktif bagi memudahkan pemilik pada saat kecemasan.

Iklan

Untuk menggunakan perkhidmatan ini, pemilik perlu mendaftar dan membuat akaun peribadi Mercedes me di https://www.mercedes-benz.com.my/mercedes-me atau menerusi aplikasi Mercedes me.

merc-coupe

Iklan

Selain itu, sistem multimedia juga tidak kurang hebatnya dengan paparan media dan panel instrumen digital yang disertakan bersama ciri Android Auto, Apple CarPlay dan sistem navigasi berasaskan kad SD.

Harga yang ditawarkan untuk sebuah Mercedes-Benz C200 Coupe AMG Line adalah RM336,129.38 (atas jalan termasuk insurans) dan menerusi pembiayaan Agility Financing, jentera mewah ini boleh dimiliki dengan ansuran bulanan bermula RM4,288.

Harga sama dengan sebuah rumah…tanya selera masing-masing. Kalau mampu apa salahnya,kan?