SELEPAS banyak masa dihabiskan di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasti kenderaan kita juga terpaksa ‘bersidai’ di rumah. Lazimnya, kenderaan yang tidak digerakkan dalam tempoh yang lama pasti berdepan masalah.

Justeru, SinarPlus mendapatkan pandangan pemilik bengkel Pro Two Rich Auto, Mohd Shardi Izwan Abd Manaf mengenai langkah yang perlu diambil apabila berdepan masalah enjin kereta gagal dihidupkan.

MOHD Shardi Izwan Abd Manaf (kanan) bersama pelanggannya.

Menurut Mohd Shardi yang juga seorang mekanik kereta, apabila kenderaan tidak dapat digerakkan, terdapat beberapa perkara yang harus dikenal pasti:

1. Kenal pasti kerosakan

“Pertama sekali, jika kereta meragam atau breakdown di rumah, kenal pasti dahulu jenis kerosakan yang dialami,” ujarnya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Kongsi beliau, melalui pengalamannya sepanjang tempoh PKP, masalah utama yang sering dihadapi pemilik kenderaan adalah melibatkan bateri kereta.

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa masalah lain yang menyebabkan kereta tidak dapat dihidupkan.

Mohd Shardi Izwan tidak menafikan, hal tersebut berlaku akibat kenderaan yang diparkir dan ditinggalkan terlalu lama.

2. Tukar bateri atau cuba ‘jumper’ kereta

Apabila tidak dapat dihidupkan, sangkaan pertama punca masalah itu adalah gangguan pada bateri kereta.

“Bateri kereta mempunyai dua jenis sahaja iaitu jenis sel kering dan basah,” ujarnya.

Mengenai saiz bateri, ia boleh dirujuk pada bateri sedia ada. Pada kebiasaannya, kereta nasional menggunakan saiz NS40, NS60 dan NS70.

Jika jumper sudah digunakan namun masih gagal dihidupkan, maka jalan terbaik adalah dengan memanggil trak tunda bagi membawanya ke bengkel berdekatan.

“Kos menunda kenderaan dianggarkan antara RM150 hingga RM250,” jelasnya lagi.

3. Masalah tayar, kipas dan tangki

Selain bateri, sebab lazim yang boleh mengundang kereta tidak dapat digerakkan sepenuhnya adalah masalah tayar, kipas dan tangki.

Bagi tayar, jika ia rosak akibat sudah lama tidak digunakan, pemilik harus menukarnya bagi menjamin ia mampu berfungsi dengan baik.

“Panduan yang boleh diamalkan bagi mengelak masalah tayar kereta adalah dengan selalu menggerakkannya.

“Bukan itu sahaja, pastikan kereta diparkir di kawasan yang selamat manakala brek tangan  dilepaskan,” jelas beliau.

Pada kebiasaannya, tambah Mohd Shardi Izwan, kos keseluruhan bagi baik pulih kereta yang berhadapan masalah seperti itu adalah sekitar RM180 ke RM250.