SEJAK kebelakangan ini, aplikasi Tiktok dilihat menjadi virus dalam pelbagai kalangan masyarakat. Bukan sahaja pembabitan kalangan selebriti, orang ramai juga sibuk memuat naik kandungan video kreatif yang ditawarkan oleh aplikasi tersebut.

Aplikasi Tiktok menyediakan banyak keistimewaan yang dapat digunakan oleh sesiapa sahaja seperti kesan efek pada video dengan muzik yang pelbagai, animasi 3D, sticker menarik, mengubah wajah serta warna rambut dan banyak lagi.

Menerusi aplikasi itu juga, pengguna bebas mengekspresikan diri menerusi video pendek. Rangkaian sosial itu juga merupakan aplikasi yang paling banyak dimuat turun melalui App Store (Apple).

Bagaimanapun, sama seperti kebanyakan media sosial lain, Tiktok tidak terlepas dari bahaya gangguan atau bahaya lain di dunia maya.

Kehidupan manusia yang bermula dari kesederhanaan dahulunya kini menjadi kehidupan yang mampu dikategorikan sebagai sangat moden.

Video Tik Tok juga sering mendapat perhatian ramai dengan pelbagai aksi yang melucukan dan ada juga video yang menjengkelkan sehingga ada yang dikecam hebat.

Pengguna Tik Tok boleh dikatakan terdiri dari semua peringkat umur seperti kanak-kanak, remaja dan golongan yang berusia.

Secara tidak langsung, Tiktok adalah penyebab generasi remaja kini suka ‘bergelek’. Buktinya, di laman sosial seperti facebook dan Instagram kini dibanjiri dengan pelbagai jenis video yang dimuat naik menggunakan aplikasi tersebut untuk dikongsi kepada umum.

Iklan

Lebih memeranjatkan, aplikasi tersebut sebenarnya boleh dijadikan sebagai wadah terbaik bagi penjenayah tertentu untuk cari mangsa serangan seksual secara tidak langsung.

Mungkin mereka hanya berfikir bagaimana cara membuat video yang menarik dan mendapat banyak respon dari penonton tanpa mempedulikan dengan apa yang mereka tampilkan itu baik atau buruk untuk orang lain mahupun dirinya sendiri.

Semestinya perkara tersebut dilihat sangat berbahaya bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah jika ia digunakan tanpa pengawasan.

Iklan

Meskipun masyarakat berfikir lebih banyak sisi negatifnya berbanding positif, tapi masyarakat juga tidak boleh menyalahkan perkembangan dari segi teknologi.

Pucuk pangkalnya semua terpulang kepada individu itu sendiri untuk menggunakan aplikasi tersebut ke jalan baik atau sebaliknya.