SETELAH lama menanti, penyanyi dan pelakon Bella Astillah akhirnya tampil dengan single pertamanya berjudul Tenang.

Mendengarkan lagu tenang hasil ciptaan Audi Mok terbitan dan edaran Universal Music yang dilancarkan pada 27 Mac lalu itu, ramai yang merasakan lagu tersebut seolah-olah bercerita tentang kisah hidupnya sebelum ini.

Bagaimanapun, Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 26, menegaskan, Tenang bukanlah mengenai kisah hidupnya seratus peratus.

“Saya percaya setiap individu menginginkan kehidupan yang baik. Bagi saya, apabila kita sentiasa positif, insya-ALLAH mudah untuk berasa tenang. Dari situ, saya dan komposer mendapat sedikit inspirasi untuk lirik lagu Tenang.

“Lirik lagu ini tidak sepenuhnya mengenai perjalanan hidup saya, tapi lebih kepada ingin berkongsi perasaan positif untuk sentiasa bersangka baik dengan ujian dan jangan putus asa,” katanya yang kini aktif dalam dunia lakonan.

Bella sebelum ini pernah merakamkan album kanak-kanak bersama adiknya yang juga penyanyi, Didi Astillah mengakui teruja dengan pengalaman barunya di studio rakaman.

“Proses merakamkan lagu Tenang sangat tenang. Di mana segalanya dipermudahkan. Alhamdulillah, dengan bantuan Audi Mok sendiri selaku komposer membuatkan saya rasa lebih mudah dan selesa.

“Kami saling mendengar pendapat masing-masing. Itu yang memudahkan lagi rakaman lagu ini. Begitu juga ketika proses memperdengarkan melodi lagu. Audi sangat memahami dan kreatif,” katanya.

Menurut Bella yang juga merupakan bekas isteri kepada penyanyi Aliff Aziz itu, dia kembali ke studio rakaman untuk memenuhi permintaan yang mahu melihatnya tampil dengan buah tangan terbaharu.

“Saya sering melakukan ‘cover’ lagu dan ramai yang menginginkan untuk saya mempunyai lagu sendiri.

Iklan

“Lagu terakhir yang dirakam ialah Diari Ramadhan Rafique dan itu pun sewaktu saya berusia 12 tahun.

“Disebabkan itu saya fikir adalah lebih baik saya ada lagu sendiri sebagai hadiah kepada pendengar setia ‘cover’ saya di media sosial,” katanya.

Biarpun kehadirannya bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi sedia ada, Bella mengakui mahukan yang terbaik buat lagu itu.

“Saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi dengan niat lagu ini meletup. Namun, sudah semestinya saya mahukan yang terbaik. Kalau ada rezeki untuk mana-mana pertandingan saya tidak menolak.

Iklan

“Saya percaya semua penyanyi berharap lagu mereka dapat diterima pendengar dengan baik dan positif,” kata ibu kepada seorang anak lelaki ini.

 

(FOTO: Universal Music)