MENELITI perkongsian di dinding Facebook, majoriti rakan wanita penulis tidak sabar untuk ke salun rambut sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Ada yang ingin memotong fringe (juraian rambut depan) dan tidak kurang yang berhasrat mencuci serta merawat rambut.

Maklumlah, sudah sebulan mereka duduk di rumah kerana tidak dibenarkan  keluar jika tiada urusan penting. Bukan itu sahaja, PKP juga menghendaki gedung, pejabat, sekolah, salun rambut dan pusat kecantikan wajah menghentikan operasi buat sementara waktu.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengumumkan PKP dilanjutkan bagi memastikan wabak Covid-19 dapat dibanteras di negara ini.

Justeru, sementara menunggu PKP tamat, segmen Sihat Cantik minggu ini  berkongsikan tatarias dari hujung rambut hingga hujung kaki yang boleh dilakukan sendiri di rumah.

Rejim penjagaan wajah

Buat para wanita yang lazimnya melakukan rejim penjagaan wajah dan bersolek sebelum ke pejabat, teruskan amalan tersebut meskipun kini perlu bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, sebelum mengaplikasikan sebarang alat solekan, pastikan kulit wajah dilapisi serum, krim mata, krim pelindung sinaran ultraungu (UV), krim pelembap dan olesan bedak supaya kondisi kulit sentiasa sihat.

Bersoleklah secara minimalis dengan mencalit gincu dan pembayang mata warna pastel, pemerah pipi dan penggaris mata nuansa hitam.

Mengapa perlu bermekap? Inisiatif itu adalah untuk membangkitkan mood tatkala bertugas di rumah.

Pada masa sama, sebelum memulakan kerja pastikan anda mandi, menyarungkan pakaian sesuai dan menyemburkan wangian pilihan.

Cuci rambut setiap hari

Rambut ibarat mahkota yang perlu dijaga rapi kerana ia antara indikasi kebersihan diri wanita. Namun begitu, tidak bermakna perlu bersyampu setiap helaian rambut saban hari, memadai selang dua hari sekali.

Iklan

Baik rambut jenis berminyak, kerinting, kering mahupun berpeluh dek aktif bersukan, mencuci rambut setiap hari dengan air bersih sudah mencukupi.

Langkah itu bertujuan mengelakkan kehilangan minyak rambut semula jadi selain rambut bercabang. Elakkan juga daripada menggunakan alat pengering secara kerap kerana ia membuatkan rambut menjadi kering dan rapuh.

Paling utama, selepas bersyampu jangan lupa menyapu perapi dan serum bagi membantu mengembalikan nutrien pada rambut dan kulit kepala.

Bagi yang rimas berambut panjang dan tidak dapat ke salun dalam tempoh PKP, mungkin solusi terbaik adalah dengan mengikat rambut gaya ponytail (ekor kuda), bersanggul atau bertocang mengikut kreativiti sendiri.

Iklan

Lulur dan losen badan

Kulit badan juga memerlukan sentuhan rawatan kecantikan walaupun tidak terdedah kepada persekitaran luar ketika ini. Tidak berpeluang ke spa bukan masalah, lakukan sahaja di rumah.

Caranya mudah. Setiap kali mandi, gosok anggota badan menggunakan berus dan krim mandian secara lembut. Pilih gel mandian yang membantu mengekalkan tahap kelembapan dan menghindar jerawat pada  badan.

Selesai mandi, tunggu kulit kering sebelum mengoles krim pelembap yang boleh didapati di farmasi atau pasar raya utama.

Selain itu, sekali seminggu pula lakukan skrub bagi menanggalkan sel kulit mati. Jika produk skrub kehabisan tidak mengapa, anda masih boleh menggunakan bahan sedia ada di rumah. Antaranya, campurkan tiga atau empat sudu garam halus bersama krim pelembap. Lulurkan pada kulit badan menggunakan tangan dengan lembut.

Bagi yang gemar menggunakan berus atau span badan, pastikan menukarnya sebulan sekali kerana alat tersebut memerangkap kulat dan bakteria.

Krim tangan sebelum tidur

sebelum tidur Kuku mudah dipotong pendek selepas mandi memandangkan ia masih dalam keadaan lembut. Gunakan pengetip kuku yang tajam bagi membentuk potongan sama ada bulat atau lurus.

Selepas mandi pagi dan sebelum tidur, pastikan anda memakai krim tangan yang diperkaya dengan mentega shea, vitamin E, susu badam atau madu.

Ia membantu mengembalikan nutrisi pada kuku yang rapuh dan kusam di samping melembutkan kulit tangan daripada masalah kering dan kasar.

Dalam pada itu, sepanjang berdepan dengan krisis Covid-19, sentiasa cuci tangan dengan air bersih. Boleh juga gunakan cecair pencuci tangan dengan kadar alkohol antara 60 hingga 80 peratus bagi membunuh kuman tanpa perlu dibilas.