PULAU LANGKAWI, Kedah kini antara destinasi pelancongan yang menjadi pilihan paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia selepas kerajaan membuka semula sektor pelancongan.

Selain inisiatif Gelembung Pelancongan Langkawi, kebenaran merentas negeri yang diumumkan baru-baru ini nampaknya merancakkan lagi kunjungan pelancong lokal dari seluruh negeri.

Apabila berbicara mengenai Pulau Langkawi, sudah tentunya antara destinasi yang wajib kita singgah adalah seperti Pantai Cenang, Pekan Kuah, Langkawi Sky Bridge, Pulau Dayang Bunting dan hutan paya bakau yang masih terpelihara.

pulau tuba langkawi

Pada masa sama, kemajuan pembangunan pulau peranginan bebas cukai itu nampaknya semakin maju apabila pelbagai projek moden dibangunkan seperti Projek Demontrasi 5G.

Projek canggih itu sekali gus merealisasikan rancangan untuk membina bandar kepulauan pintar pertama dalam negara kerana dilengkapi sistem teknologi 5G dengan kamera keselamatan resolusi tinggi yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI). Hebat kan?

Pun begitu, pernahkah anda terfikir untuk melihat wajah Pulau Langkawi pada 30 tahun terdahulu? Tanpa sebarang kemajuan yang gah dan rata-rata penduduk bergantung hidup dengan hasil laut dan pertanian?

pulau tuba langkawi

Penulis antara 11 pengamal media yang berpeluang menyertai Program Ekspresi Media Langkawi 2021 anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama AirAsia di Pulau Langkawi baru-baru ini.

Sepanjang program yang berlangsung bermula 11 hingga 14 Oktober itu, penulis berpeluang untuk mengunjungi Pulau Tuba yang dikatakan persis Pulau Langkawi satu ketika dahulu.

Pulau kedua terbesar daripada 99 pulau yang terdapat di Kedah itu masih dihuni lebih kurang 5,000 penduduk dan difahamkan, sudah lebih lima generasi penduduk ‘hidup’ di sana.

pulau tuba langkawi
Dengan jarak kira-kira 20 minit perjalanan menaiki bot laju dari Jeti Pelancongan Pekan Rabu dengan bayaran RM5 sehala, rombongan kami berpeluang mendekati suasana perkampungan Pulau Tuba seluas 17.63 kilometer persegi dengan lebih dekat.

Sarat dengan tarikan tersendiri dan lebih dekat dengan alam semula jadi, pengunjung boleh melihat panorama bendang yang dipenuhi kerbau dengan berlatar belakangkan bukit bukau.

Lagi best, anda masih boleh melihat burung helang dengan lebih dekat dan formasi batuan batu kapur di Bukit Kecik selain pilihan resort pada harga cukup berbaloi.

pulau tuba langkawi

Menurut seorang penduduk, Mohd Senaffi Ishak, 63, atau mesra dipanggil Pak Ali, rata-rata penduduk masih bergantung hidup dengan hasil laut, pertanian, kraftangan dan produk makanan.

“Saya sendiri sudah generasi ke-5 dan alhamdulillah, keadaan pulau ini semakin baik termasuk kemudahan internet. Jadi, bagi penduduk yang mengusahakan kedai makan atau menjadi pemandu pelancong, mereka hebahkan di media sosial.

“Jika sebelum ini ramai tidak tahu Pulau Tuba, selepas 2018 sudah ramai yang datang dan resort pun sudah dibangunkan untuk mereka datang berkunjung,” kata pemandu van pelancong tersebut.

Iklan

pulau tuba langkawi

Kalau singgah ke sana, jangan lupa untuk menikmati keropok lekor yang lembut dan sedap yang diusahakan penduduk tempatan selain bersantai di tepi pantai di Tanjung Pandan Corner.

Bukan setakat Pak Ali saja, kebanyakan penduduk turut mengalu-alukan kedatangan pelancong tempatan mahupun luar negara untuk merancakkan ekonomi setempat.

Baca juga Tengah rancang bercuti di Pulau Langkawi? Ini 12 resort tepi pantai yang best

Sementara itu, bercakap mengenai program tersebut, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris berkata, impak perkongsian pengalaman para peserta media diharapkan dapat merancakkan lagi aktiviti promosi pelancongan domestik.

Iklan

“Malah, melalui perencanaan kempen Cuti-Cuti Malaysia di pelbagai platform media menggalakkan orang ramai untuk kembali melancong bagi menyokong pemulihan industri pelancongan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

pulau tuba langkawi

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Pada masa sama, Ketua Komersil Serantau AirAsia, Mai Yin Tan berharap rakyat Malaysia tidak akan ragu-ragu untuk kembali memilih penerbangan bersama AirAsia.

“AirAsia memberi jaminan standard keselamatan tertinggi seiring pelan mitigasi COVID-19 termasuk menerima penumpang lengkap vaksinasi.

“Selain itu, kami mewajibkan proses daftar masuk secara kendiri menerusi AirAsia Super App yang telah diintegrasikan dengan status vaksinasi melalui MySejahtera,” katanya yang turut memperkenalkan AirAsia Ride untuk pelancong di Langkawi pada harga lebih berbaloi.