‘The Emerald Pool of Perlis’, lokasi menarik yang sangat instagramable

September 11, 2020
Farah Eliani

LOKASI berkelah tersembunyi, The Emerald Pool of Perlis terletak di Taman Ekorimba Bukit Ayer. Menjadi destinasi popular orang ramai sejak dahulu untuk berkelah dan menikmati keindahan alam semula jadi.

Menariknya, menyusuri punca airnya di hulu sungai, terdapat sebuah takungan mengalir berwarna biru kehijauan bergantung kepada sinaran cahaya matahari.

Airnya jernih dan terdapat pelbagai spesies air tawar di dalamnya. Bukan itu sahaja, keunikan kolam berkenaan layak untuk digelar sebagai The Emerald Pool of Perlis yang sangat instaworthy untuk diabadikan di dalam album gambar.

Taman Ekorimba Bukit Ayer tersebut diselia oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis yang mengenakan caj RM2 bagi setiap individu untuk masuk ke sini. Yuran berkenaan adalah sangat rendah jika hendak dibandingkan dengan Air Terjun Wang Sai Thong di Thailand yang berharga THB200 sekepala.

Artikel berkaitan: Peluang tengok KL dari SkyBridge KLCC serendah RM10

Tujuannya pasti sama, bagi mendidik orang ramai supaya menghargai alam semula jadi dengan nilai ringgit dan juga bagi menampung kos pengurusan dalam menjaga kebersihan.

Apapun, kesedaran menjaga alam sekitar bermula dari dalam diri setiap individu bukannya diletakkan sepenuhnya di atas pihak pengurusan meskipun dikenakan caj masuk.

Itu adalah kerana anugerah alam seperti Emerald Pool itu seharusnya dihargai dan dijaga setiap individu supaya ia tidak dicemari bagi mengekalkannya untuk generasi seterusnya.

Jom ke Emerald Pool of Perlis dan rakam sendiri gambar anda!

Kredit : Perlis Nature and Wildlife