LUMRAH kehidupan manusia, apabila wujud kekangan, maka lahirlah inovasi, dan SonaOne memenuhi pernyataan itu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dijalankan.

Diilhamkan daripada siri Vlog PKP miliknya, The Loccdown, SonaOne berazam untuk memeriahkan pengalaman kuarantin para peminatnya dengan satu projek muzik baharu.

Walaupun siri Vlog SonaOne itu meliputi rutin hariannya seperti memasak dan membersihkan apartmen yang mengasah skil domestiknya, namun untuk projek yang akan datang ini, kreativitinya tetap mengalir ke muzik.

The Loccdown yang dihasilkan oleh Kid Kenobi itu sendiri mempunyai senarai penampilan istimewa yang terdiri daripada seperti Joe Flizzow, Abubakarxli, Yung Raja, Fariz Jabba, Daboyway, A. Nayaka, Axel Jonas, Karmal dan Adrian Danial (Midnight Fusic).

Album tersebut mengandungi 10 buah lagu terbaik yang menggambarkan perjuangan muzik dibawakan SonaOne termasuk single Bomba yang dilancarkan baru-baru ini.

Menurut SonaOne, The Loccdown yang dipenuhi dengan kejujuran dan mesej positif, merupakan pelayaran SonaOne dalam merentas tema kesepian, kebosanan, berhibur untuk mengisi masa lapang, serta nasihat-nasihat agar orang ramai terus tinggal di rumah.

Iklan

Masih mengekalkan unsur ‘groove’, ia diolah menjadi rentak hebat yang mampu membuatkan mereka yang mendengar ikut menari sambil diisi dengan wordplay yang menghiburkan dan bars yang menarik.

Walaupun seluruh dunia berubah hampir sekelip mata dalam saat getir ini, The Loccdown SonaOne bukan sahaja mengingatkan kita tentang kemampuan manusia untuk menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan, malahan untuk tetap tersenyum ketika melakukannya.

Iklan

 

(FOTO: Def Jam SEA)