SETELAH hampir dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu, Liza Hanim kembali mempertaruhkan single berjudul Tiada bagi mengubat kerinduan para peminat yang mahu dia terus aktif dalam dunia nyanyian.

Berbeza dengan single-single terdahulu, Tiada disifatkan sebagai karya yang cukup istimewa buatnya kerana ia didedikasi khas buat Allahyarham bapanya, Abd Halim Abd Razak yang meninggal pada tahun lalu.

Lagu yang dilancarkan serentak di semua platform digital mulai Isnin itu juga merupakan lagu hasil ciptaannya sendiri dengan sentuhan Sharol Paul selaku penerbit muzik dan Fedtri Yahya sebagai penulis lirik.

“Lagu Tiada ini saya cipta pada tahun lepas di mana ilhamnya datang ketika peraaan rindu pada arwah bapa saya.

“Pada masa itu melodi muncul dan saya rasa ada sesuatu dengan lagu itu. Sebelum ini saya sudah banyak kali mencari lagu yang sesuai, tapi kali ini baru jumpa dan rasa kena dengan saya.

“Saya terus hubungi Fitri untuk buat lirik dan kebetulan dia memang tahu situasi kehilangan yang saya lalui. Maka keluarlah bait-bait lirik yang sangat menyentuh hati,” ujarnya yang kali terakhir tampil dengan single Mimpi pada tahun 2018.

Menurut pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdu Razak, 41, meskipun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilalui oleh rakyat Malaysia ketika ini, dia tidak menganggap itu sebagai satu halangan besar, malah mengharapkan peminat memberikan sokongan terhadap lagu tersebut.

Tiada bukan sebuah karya yang biasa, malah seluruh tenaga dan jiwa saya diletakkan ke dalam lagu ini.

“Ia merupakan luahan isi hati saya terhadap sebuah kerinduan kepada insan yang telah pergi buat selama-lamanya.

“Kerinduan yang bersarang dalam hati saya itulah yang menjadi intipati penting dalam lagu Tiada ini,” kata Liza.

Tambah naib juara program, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu, single Tiada hadir tepat pada masanya.

Iklan

“Di saat satu persatu nyawa terkorban angkara Covid-19, Tiada pastinya akan membangkitkan lagi rasa simpati dan kasih sayang berterusan antara yang meninggalkan dan yang ditinggalkan.

“Siapa yang pernah kehilangan akan rasa relate dengan lagu ini,” luahnya.

Liza yang pernah tampil dengan tujuh album studio sebelum ini dan kini bernaung di bawah pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment yakin single tesebut bukan sahaja dekat di hati peminat, malah mengembalikan semula semangatnya untuk terus berjuang dalam bidang seni tanah air.

Dalam pada itu, untuk single terbaharu itu juga, Liza memilih bekerjasama dengan Indigital Music Sdn. Bhd. bagi mempromosikan Tiada.

Iklan

“Lagu ini boleh didapati di semua digital platform mulai Isnin, dan serentak dengan itu, lirik videonya juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Liza Hanim)